Nasionalpilihan

Isu PPR Krubong: LPM tunggu peruntukan KPKT

Lembaga Perumahan Melaka (LPM) menghadapi masalah kelewatan peruntukan daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjadi punca berlaku kelewatan kerja-kerja membaikpulih kerosakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong dekat sini.

Pengarah Eksekutif LPM, Mohd. Salleh Hamidon berkata, pihaknya telah memohon peruntukan daripada KPKT tahun lalu bagi membaikpulih kerosakan dan penyelenggaraan bukan sahaja di PPR Krubong tetapi juga di Tehel, Kampung Padang dan Peringgit.

Mohd. Salleh Hamidon.

Menurutnya, ekoran kelewatan peruntukan yang dipohon belum diluluskan KPKT menyebabkan LPM berdepan kekangan untuk melaksanakan sebanyak 64 kerja-kerja membaikpulih untuk tahun ini.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 45 aduan adalah berkaitan mozek lantai meletup manakala 19 lagi pula mengenai saluran paip bocor di empat buah blok di PPR tersebut.

“Isu mozek lantai meletup dan paip bocor sudah lama berlarutan sejak PPR Krubong diserahkan oleh KPKT kepada LPM untuk diuruskan pada 2017.

“Selepas LPM mengambil alih paling banyak aduan diterima berkaitan lantai mozek yang meletup walaupun sudah dibaikpulih namun ia berulang semula.

“Sepanjang tempoh dari 2020 hingga 2022 LPM sudah membelanjakan sebanyak RM1.2 juta di Krubong bagi membaikpulih lantai dan paip yang bocor,” ujarnya ketika ditemui di pejabat LPM, Ayer Keroh di sini hari ini.

Baru-baru ini SM melaporkan mengenai desakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin apabila beliau menerima banyak aduan penduduk mengenai kerosakan seperti mozek lantai meletup, saluran paip bocor dan masalah sampah diajukan kepadanya.

Katanya, pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Paya Rumput telah beberapa kali memaklumkan masalah ini kepada LPM namun ia tidak dapat diselesaikan.

Sehubungan itu kata Salleh, dalam keadaan kekangan yang dihadapi, pihak LPM akan cuba sedaya upaya untuk melaksanakan kerja-kerja membaikpulih kerosakan yang berlaku di PPR Krubong.

Jelasnya, LPM tidak boleh semata-mata memberi tumpuan kepada PPR Krubong kerana tiga lagi PPR di Tehel, Kampung Padang dan Peringgit tidak boleh diabaikan oleh pihaknya.

Katanya, setiap bulan LPM memperuntukan RM80,000 di Krubong dan RM50,000 di Tehel bagi membayar bil utiliti elektrik dan air, penyelenggaraan lif dan kerja-kerja pembersihan bangunan.

“Bagi PPR di Kampung Padang dan Peringgit, LPM tidak berdepan sebarang masalah berkaitan kerosakan unit rumah kediaman melainkan peruntukan untuk menyelenggara bangunan di situ,” ujarnya. – SM

(Visited 312 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button