Politik

Ab. Rauf Yusoh nafi ada pertukaran jawatan utama UMNO Melaka

DUA hari lalu dalam kalangan ahli dan pemimpin UMNO dikejutkan dengan khabar angin mengenai pertukaran beberapa jawatan tertinggi Perhubungan UMNO Melaka.

Nama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dikaitkan akan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO yang baharu menggantikan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Lewat petang semalam timbul pula khabar angin terbaharu mengaitkan nama Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman pula akan menggantikan tempat Mohamad Ali.

Turut disebut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin akan mengambil jawatan
Setiausaha Perhubungan UMNO negeri menggantikan Datuk Mustafa Musa.

Nama ADUN Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh pula turut dikaitkan bagi jawatan Bendahari yang ketika ini
disandang oleh bekas ADUN Rim, Datuk Ghazali Mohamad.

Namun segala khabar angin tersebut sekadar tinggal kenangan sebaliknya tidak ada sebarang pengumuman
mengenai pertukaran tersebut yang dikatakan akan diumumkan pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri
Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Bidara di Villa D’Acqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah, malam tadi.

Dalam satu sidang akhbar pada majlis tersebut, ADUN Tanjong Bidara yang juga Pengerusi Badan Perhubungan
UMNO Melaka, Datuk Ab. Rauf Yusoh menafikan sekeras-kerasnya khabar angin tersebut mengaitkan pertukaran
jawatan utama itu.

“Itu tak betul! Jangan percaya ada ura-ura, dan setakat ini memang tak ada. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
dah kata tak ada apa-apa. Kini parti berada dalam keadaan yang terbaik. Itu (desas-desus perubahan) saya anggap asam garam politik, tak anggap itu sebagai satu ancaman kepada kedudukan UMNO negeri pun.

“Presiden sudah bagi tahu tidak ada apa-apa dan itu jangan dipanjang-panjangkan sebab itu bukan saya yang
sebenarnya untuk memperhalusi,” ujarnya.

Ab. Rauf ditanya pemberita mengenai pengumuman besar mengaitkan pertukaran kepimpinan tertinggi Badan
Perhubungan UMNO negeri yang hangat diperkatakan sejak dua hari lalu.

Kenyataan beliau sekali gus menangkis segala khabar angin yang disifatkan sangat mengejutkan hingga
menjadi bualan dalam kalangan pemimpin dan ahli parti sejak dua hari ini.

Sementara itu sambutan Aidilfitri DUN Tanjong Bidara mendapat sambutan mengalakkan daripada seluruh
penduduk di kawasan berkenaan.

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam;
bekas Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob; Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri
Yaakob; Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dan Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN),
Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri
Mahdzir Khalid, Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Ketua UMNO Hang Tuah Jaya, Senator Datuk Ridhwan Mohd. Ali.

Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan yang dikatakan hadir tidak muncul pada majlis berkenaan.

Turut tidak muncul ialah Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad; Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Abd. Rahman dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman. – SM

(Visited 453 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button