MahkamahNasional

Penyanyi pukul bekas isteri direman dua hari

SEORANG penyanyi yang dipercayai memukul bekas isterinya, ditahan reman selama dua hari sehingga esok. Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Hairol Azhar Mohd Ishak di Mahkamah Majistret.

Peguam mewakili penyanyi lelaki berusia 45 tahun itu, Kailash Hsarma berkata, artis terbabit berkemungkinan akan dituduh di mahkamah esok mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 (A) Akta Keganasan Rumahtangga 2017.

“Polis memohon reman selama empat hari namun ia dikurangkan kepada hanya dua hari. Dia kemungkinan besar akan dituduh di Mahkamah Petaling Jaya, esok,” katanya.

Beliau berkata, anak guamnya itu berada dalam keadaan sihat ketika ini termasuk dari segi emosi.

“Mengenai tuduhan itu, saya difahamkan dia turut membuat laporan polis malah berpesan supaya kesalahannya hanya boleh ditentukan oleh proses undang-undang,” katanya.

Semalam, media melaporkan penyanyi itu ditahan selepas dipercayai memukul bekas isterinya dalam kejadian di kawasan rumah lelaki itu di Kota Damansara.

Ketua Polis Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, dilaporkan berkata mangsa berusia 27 tahun membuat laporan berhubung kejadian semalam.

Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa mahu mengambil anak lelakinya daripada suspek di kawasan parkir rumah pada 2.29 petang.

“Ketika berada di situ, berlaku perselisihan faham kerana mangsa enggan bergambar bersama lelaki terbabit.

“Suspek berusia 45 tahun itu kemudian memarahi dan memukul badan pengadu menyebabkan kesan lebam dan sakit pada anggota badan mangsa,” katanya. – HARIAN METRO – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button