Makan sosej ke ayam goreng ke, kita akan rindu dengan belacan juga – Afee Utopia
JADIKAN platform teknologi baru untuk majukan industri muzik dan luaskan karya dengan pembaharuan yang baik, pesan Afee Utopia kepada pelapis baru muzik tanah air.
Afee ketika ditemui ketika hadir memeriahkan Majlis Penutupan Program amal gelendangan semalam turut mengucapkan tahniah kepada pelapis baru atau lebih mesra digelar Budak-Budak Baru Nak Up (BBNU).
“lakukanlah pembaharuan dengan cara yang bagus, luaskan karya majukan industri muzik, dalam masa sama jangan lupa orang-orang lama.
“Kita ini melayu makan sosej ke, ayam goreng ke, kita akan rindu belacan” tambahnya
Afee turut berharap agar industri muzik negara terus berkembang dengan cara yang elok.
Seperti mana yang berlaku baru-baru ini dalam sebuah program realiti televisyen, Afee berharap agar pihak produksi perlu menapis terlebih dahulu peserta agar kualiti sesuatu program terjaga.
“Kadang-kadang mereka main ambil saja artis mana-mana, sepatutnya kita tapis dahulu supaya penonton dan orang ramai yang menonton, mereka dapat manfaat” katanya
Terbaru Afee mengeluarkan satu lagu baharu bertajuk Warkah yang menggandingkan 10 artis lagenda terdiri daripada Afee sendiri, Nizam Laksamana, Rahmat Mega, Shafie RIO, Burn Meditasi, Isa Gravity, EJ Samudera dan ramai lagi.
“Sebenarnya Afee sudah lama berhajat untuk hasilkan lagu berbentuk begini, sebab apa Afee terpanggil, Afee mahu lagu-lagu hasil tahun 90-an dulu kekal dari generasi ke generasi dan turut mahu generasi baru jaga lagu ini sebab lagu ini mempunyai roh dan akan hidup sampai bila-bila.
“Kami merupakan otai dalam industri muzik, kita akan hilang seorang demi seorang, macam arwah Saleem… Jadi Afee mahu lagu kami ini dijaga, dibajai sampai turun temurun” katanya. – SM