NasionalRencah Hidup

Posmen putus kaki, bangkit demi keluarga

KEJADIAN hari raya ke-10, 2014 telah mengubah sama sekali kehidupan Mohd Khairul Zamry Zulkeffly.

Daripada seorang yang sempurna dan sangat aktif bersukan terutama bola sepak sehingga terpilih mewakili KL Pos C sebagai pemain pertahanan kiri, tiba-tiba kehidupan itu direnggut oleh kejadian malang yang menimpa beliau.

Tragedi Oktober itu telah menyebabkan Mohd Khairul Zamry yang bertugas sebagai posmen kehilangan kaki kirinya.

Tanggal hari raya kesepuluh bila Mohd Khairul Zamry pada ketika itu sedang bertugas sebagai seorang Posmen di Pusat Pemprosesan Mel Melaka.

Kemalangan berlaku ketika dia keluar membuat penghantaran pada pukul 9.50 pagi dari Pejabat Pos Jasin ke Kawasan Asahan.

Kemalangan ngeri itu berlaku di selekoh Kampung Rim dengan sebuah kereta Toyota Datsun. Khairul menceritakan pada waktu itu kereta Toyota Datsun itu memberi signal hendak ke kanan tetapi kemudian tiba-tiba membelok ke kiri.

Khairul yang membawa motosikal tidak sempat mengelak dan besi beg Posmen di motor terkena pintu dan terus terhimpit ke pembahagi jalan kiri jalan yang tajam. Ini menyebabkan kaki Khairul terus terputus di situ juga.

Kemalangan ini berlaku satu hari sebelum final untuk pasukan CBoyo United yang ditubuhkan Khairul dengan abang dan kawan-kawannya di Melaka. Pasukan bolasepak CBoyo United ketika itu sudah berusia 4 tahun. Daripada sebuah pasukan yang tidak dikenali, kemudian ianya menjadi sebuah pasukan yang dikenali di Melaka.

Khairul terpaksa mengambil cuti selama sembilan bulan untuk pulih dan bangkit semula. Khairul mengalami trauma selepas kemalangan namun redha dengan ketentuan Allah SWT.

Bangkit daripada trauma demi keluarga

Mohd Khairul Zamry  yang berusia 34 tahun berasal dari Kampung Serkam Pulai, Merlimau, Melaka.

Mohd Khairul Zamry sudah berkhidmat dengan Pos Malaysia sejak 2004 lagi, 16 tahun yang lalu. Beliau aktif bermain bolasepak dengan KL Pos FC sebagai pemain pertahanan kiri.

Jika sesiapa yang minat pasukan English Premier League, EPL, posisi pemain pertahanan kiri adalah posisi pemain seperti Luke Shaw di Manchester United, Ben Chilwell di Leicester dan Andrew Robertson di Liverpool. Kalau zaman dulu semua masih ingat dengan Roberto Carlos, pemain Brazil.

Itulah posisi bagi Mohd Khairul Zamry bila bermain dengan pasukan KL Pos FC pada tahun 2011 hingga 2013. Pasukan KL Pos FC pernah memasuki Liga Perdana sekitar tahun 2011 hinga 2015. KL Pos FC sekarang dikenali sebagai DRB Hicom FC.

Mohd Khairul Zamry menyatakan ramai kawan-kawannya dari Kuala Lumpur dan Melaka datang melawat dan memberi semangat dan kekuatan untuk beliau bangkit kembali.

Paling diingati adalah rakannya yang bernama Shafik, seorang Posmen yang juga kehilangan kaki kerana kemalangan motosikal semasa membuat penghantaran surat.

Kini Mohd Khairul Zamry telah bangkit kembali dalam hidupnya selepas kemalangan ngeri tersebut. Bangkit bertugas sebagai seorang Posmen dan meneruskan hobinya dengan bola sepak.

Mohd Khairul Zamry kini masih bertugas dengan Pos Malaysia dan membuat kerja kerja dalaman dalam menyara seorang isteri dan dua orang anaknya yang berusia 7 tahun dan 1 tahun.

Minat Mohd Khairul Zamry terhadap bola sepak tidak pernah padam biarpun kini menggunakan kaki palsu. Itulah bakat Mohd Khairul Zamry, yang mula bermain bolasepak ketika mula bekerja di Bahagian Mel Melaka, dan selepas itu bemain bolasepak dengan Persatuan Bolasepak Negeri Melaka.

Bakat bola sepaknya itu hadir seawal zaman sekolah lagi bila Khairul aktif bermain bolasejak mewakili Sekolah Menengah Sungai Rambai.

Kaki palsu bukan alasan untuk halang kerjaya dan minat Mohd Khairul Zamry. Kini beliau berkecimpung sebagai coach bolasepak di Merlimau.

Mohd Khairul Zamry membuat kerja kejurulatihan dalam 1 jam 30 minit setiap hari, tanpa bayaran kerana minat dan kini menjadi jurulatih kepada Serkam United. Melatih pasukan itu dalam video secara bercakap.

Beliau bercita-cita membawa pasukan Serkam United ke tahap yang lebih tinggi. Khairul kini sedang berusaha mendapatkan lesen jurulatih dari FAM.

Berterima kasih kepada Pos Malaysia

Mohd Khairul Zamry berterima kasih dengan keprihatinan dari pihak majikannya, Pos Malaysia yang begitu menjaga kebajikan pekerjanya.

Walaupun kaki putus, tetapi Mohd Khairul Zamry masih diberi peluang bekerja di bahagian belakang pejabat dengan kerja-kerja yang lebih ringan dan tidak membebankan.

Mohd Khairul Zamry tidak putus asa dalam hidup dan sentiasa mencari sesuatu yang baru untuk tingkatkan potensi dirinya. Malah beliau masih menyimpan cita-cita untuk mendapat kenaikan pangkat dalam kerjayanya di Pos Malaysia.

Bola sepak masih menjadi hobi utama Mohd Khairul Zamry untuk melahirkan bakat-bakat baru dalam bolasepak di Melaka.

Walaupun tidak memiliki sebelah kaki, pengalaman dari kemalangan membuatkan keyakinan diri Mohd Khairul Zamry lebih tinggi. Malah dia tidak pernah berputus asa dalam hidupnya.

Mohd Khairul Zamry berpesan kepada semua pembaca dan rakyat Malaysia agar jangan sesekali malu dengan kekurangan diri.

“Jangan putus asa dan percaya dengan perancangan Allah SWT yang lebih baik” kata Mohd Khairul Zamry sebagai penutup perbualan kami.

Mohd Khairul Zamry terus berjaya dalam kerjaya dan hobi yang diminatinya. Kita semua ambillah kisah positif Khairul ini sebagai suatu inspirasi dan aura positif baru dalam hidup kita. Kongsikan kisah ini bersama semua rakyat Malaysia.

Semoga kisah menginspirasikan seorang posmen ini yang disiarkan di dalam Friends of Posmen turut menjadi semangat kepada rakyat Malaysia untuk bangkit daripada pelbagai masalah dan terus mencipta kejayaan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button