EkonomiPolitik

Anwar nafi miliki saham dalam syarikat tersenarai di Bursa Malaysia

Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau memilik saham dalam mana-mana syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Presiden PKR itu berkata, khabar angin yang cuba mengaitkan dirinya dengan syarikat tertentu adalah palsu dan berniat menipu para pembeli saham.

“Ini adalah tidak benar sama sekali.

“Ingin ditegaskan bahawa saya tidak memiliki saham dalam mana-mana syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

“Cakap-cakap yang mengaitkan nama saya dengan syarikat tertentu adalah palsu dan berniat menipu para pembeli saham,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Perkara itu dilaporkan The Edge Markets pada 9 Oktober lalu berkenaan kaunter yang dilihat menjalani urus niaga secara aktif.

Ia berikutan dakwaan Anwar pada 23 September lalu bahawa dia memperolehi “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baru dan akan mengadap Yang di-Pertuan Agong esok.

Laporan The Edge markets itu antara lain merujuk saham Malayan United Industries Bhd and Pan Malaysia Holdings.

Menurut laporan itu, adik Anwar iaitu Farizon Ibrahim adalah pengarah di kedua-dua syarikat.

Sehari sebelum pengumuman Anwar, saham Malayan United Industries Berhad yang diniagakan adalah 181,742 unit. Ia meningkat kepada 3.9 unit apabila pasaran ditutup Jumaat lalu.

Bagaimanapun harganya tidak stabil. Ia ditutup pada RM0.125 seunit pada 22 September dan RM0.14 seunit pada Jumaat lalu.

Bagi Pan Malaysia Holdings pula, sebanyak 96,821 sahamnya diniagakan pada 22 September dan naik 23 kali ganda pada Jumaat lalu, iaitu dengan 2.23 juta unit.

Harga sahamnya juga tidak menentu, ditutup pada RM0.205 seunit pada 22 September dan dijual lebih rendah pada Jumaat lalu, dengan RM0.185 seunit.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button