Hebatnya pelajar dari Keningau ini
KOLEJ Vokasional (KV) Keningau mencipta kejayaan antarabangsa dalam bidang inovasi apabila pelajarnya, Earl Carlos Felix daripada Program Teknologi Elektrikal memenangi pingat perak di satu pertandingan inovasi di Taipei Taiwan, hari ini.
Beliau mendapat pingat itu daripada penyertaannya dalam Pertandingan Ciptaan dan Inovasi Antarabangsa (IIIC) anjuran Chinese Innovation and Invention Society.
Earl Carlos diiringi oleh dua guru iaitu Ketua Kajian dan Inovasi KV Keningau Dr Sirhajwan Idek dan Guru ICT KV Keningau Ibrahim Ismail.
Sirhajwan berkata projek ciptaan Earl Carlos yang dinamakan “Multiuse Farming System” adalah sejenis alat yang boleh membantu petani memastikan tanaman mereka mendapat bekalan air secukupnya melalui penyiraman automatik berkala yang tidak memerlukan tenaga manusia.
Katanya projek ini pernah memenangi beberapa anugerah dalam pertandingan inovasi dan keusahawanan di Malaysia termasuklah pingat emas di Pameran Teknologi, Kreativiti dan Inovasi Antarabangsa di (ICREATE) di Kuala Lumpur dan Pameran Inovasi Teknologi dan Kreativiti Sabah (SCINTEX) di Kota Kinabalu pada tahun ini.
Earl Carlos berhasrat untuk menggunakan alat ini dalam penternakan burung puyuh yang diusahakannya bersama ahli keluarga, katanya kepada Bernama, hari ini.
Menurutnya Earl Carlos merupakan pemain sukan bola lisut dan penyanyi koir yang aktif dalam acara di peringkat daerah dan negeri sebelum beralih ke bidang inovasi dan keusahawanan.
Sirhajwan berkata projek ini juga pernah dipilih untuk pameran Kolokium Industri 4.0 anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia di Putrajaya kerana penggunaan teknologi pengaturcaraan komputer yang selaras dengan penekanan revolusi industri keempat dalam sistem pendidikan negara.
Beliau berkata KV Keningau komited dalam menerapkan elemen Revolusi Industri 4.0 serta STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dalam pembelajaran pelajarnya melalui pelancaran Digital MakerHub bertujuan untuk melatih pelajar dan gurunya dalam bidang teknologi terkini.
Katanya kolej ini juga aktif dalam bidang robotik dan dron melalui program latihan, pameran dan persembahan gimik dalam acara komuniti serta pendidikan. – BERNAMA