Agama

Menuntut ilmu satu kewajipan syarak – Raja Muda Perlis

Menuntut ilmu dalam Islam adalah bukan sekadar galakan tetapi satu kewajipan syarak dan tanggungjawab besar bagi setiap Muslim.

Wahyu pertama yang diturunkan bermula dengan perintah “Iqra” (bacalah) mengajak manusia untuk membuka minda terhadap kejadian alam dengan kesedaran akal dan rohani.

Dalam mendukung pemahaman dwi-dimensi terhadap wahyu dan alam, di mana ilmu kemanusiaan digabungkan dengan bimbingan wahyu untuk mencipta perspektif holistik yang mampu menawarkan solusi yang berguna terhadap dunia hari ini, komitmen semua pihak dalam mengimbangi wahyu dan sains serta mengarahkan kefahaman ini dalam kerangka nilai dan etika yang berpandukan ajaran Islam adalah dituntut.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Agihan Zakat MAIPs di Masjid Al-Ihsan Kampung Darat, Beseri baru-baru ini.

Majlis sumbangan ini juga merupakan aktiviti mingguan yang dijalankan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis MAIPs dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis.

Para asnaf yang terpilih menerima sumbangan ini dan turut menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma oleh Jabatan Kesihatan Negeri dan turut disediakan ceramah menjauhi najis dadah dari AADK Negeri Perlis serta ‘Bangun Jiwa Asnaf’ dari pihak MAIPs.

Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan untuk menyampaikan sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM700 yang melibatkan 70 orang penerima daripada anak kariah Kampung Darat dan 70 orang lagi penerima dari anak kariah Beseri Sungai Paya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button