Untung Selangor, dapat Stadium Nasional Bukit Jalil
SELANGOR akan menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang tuan rumah skuad Gergasi Merah pada pertembungan menentang Perak dalam aksi Liga Super, Sabtu ini.
Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), dalam kenyataan di laman Twitter rasmi persatuan itu, hari ini mengumumkan perkembangan tersebut sebagai langkah mengutamakan aspek keselamatan penyokong dan pemain yang berdepan bahaya susulan kerosakan bumbung di Stadium Shah Alam.
Menurut FAS, keputusan menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil hanya untuk perlawanan menentang Perak.
“Keputusan ini bukan keputusan mudah bagi pengurusan pasukan Selangor, namun ia adalah keputusan sebulat suara yang dipersetujui oleh pemegang taruh dan badan bertanggungjawab.
“Buat masa ini, keputusan ini hanya untuk perlawanan tuan rumah pertama Selangor. Kami akan meneruskan usaha yang perlu dilakukan di Stadium Shah Alam demi memastikan ia selamat untuk digunakan bagi perlawanan di laman sendiri seterusnya menentang Sarawak United,” menurut kenyataan itu.
Semalam, MFL mengesahkan Stadium Shah Alam yang terpalit dengan kontroversi berhubung kerosakan bumbung, adalah antara dua stadium selain Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang tidak mendapat kelulusan MFL untuk dijadikan venue perlawanan saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Keputusan tersebut dibuat selepas stadium dibina pada 1994 dan mampu memuatkan sehingga 80,000 penonton itu masih tidak berada di tahap meyakinkan, bermula dengan pemeriksaan keselamatan pertama pada 10 Jan disusuli pemeriksaan kedua (21 Feb) dan ketiga pada Jumaat lepas.
Sementara, Stadium MBPJ yang menjadi gelanggang tuan rumah PJ City FC tidak boleh digunakan susulan kerja menaik taraf yang sedang dijalankan di stadium berkenaan.
Dalam pada itu, FAS turut menegaskan pihaknya bersama-sama syarikat menguruskan Stadium Shah Alam, Darul Ehsan Facilities Management (DEFM) dan kerajaan negeri Selangor kini sedang mengatur strategi jangka pendek dan panjang bagi mengelak masalah sama berulang pada masa hadapan.
“Kami ingin memohon maaf jika perubahan venue ini mengganggu rancangan telah dibuat, namun komited untuk mengembalikan venue perlawanan ‘home’ (tuan rumah) kembali ke Stadium Shah Alam dalam masa terdekat,” kata FAS. – BERNAMA