KERAJAAN negeri Terengganu sedang menyiasat dakwaan sebuah parti liar yang diadakan di Pulau Lang Tengah yang tular baru-baru ini.
Untuk itu, pemilik sebuah resort persendirian di Pulau Lang Tengah akan dipanggil pada Khamis berhubung penularan beberapa keping gambar dan poster memaparkan penganjuran sebuah parti berkenaan.
Memetik Astro Awani, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pemilik terbabit diminta mengemukakan penjelasan berhubung isu yang tular di media sosial itu.
Kata Razali, siasatan turut melibatkan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Pada Selasa tular poster dan gambar memaparkan wanita berpakaian seksi menghadiri sebuah parti dinamakan Aloha Party yang didakwa diadakan di pulau tersebut.
Gambar tersebut mendapat perhatian ramai malah rata-rata daripada mereka mengatakan parti tersebut tidak sesuai diadakan di negeri ini.