AGENSI-AGENSI pusat diberi tempoh dua bulan untuk menoktahkan kemiskinan tegar di Kelantan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini terdapat kira-kira 1,000 orang yang tergolong dalam kumpulan miskin tegar.
Oleh itu katanya, kumpulan itu perlu dikeluarkan daripada masalah berkenaan yang membelenggu mereka.
“Pengarah ICU JPM (Jabatan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri) beritahu, dia boleh selesaikan dalam tempoh dua bulan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK),” ujarnya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Aidilfitri Madani 2024 bersama Perdana Menteri Peringkat Negeri Kelantan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Bandar Baru Tunjong di Kota Bharu, pada Khamis.
Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Menurut Anwar, walaupun ada pihak yang mempertikaikan usaha itu ia tetap akan dilakukan dengan sebaik mungkin.
Pada petang Khamis, Anwar mengadakan perjumpaan tertutup bersama Menteri Besar Kelantan untuk berbincang mengenai pembangunan negeri itu.
Perjumpaan tersebut diadakan selepas Perdana Menteri meluangkan masa meninjau terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra fasa satu, yang mula beroperasi semalam. – SM