MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan pada 30 Ogos depan sama ada tiga ahli Barisan Nasional (BN) boleh mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk mengecualikan dua jawatan tertinggi UMNO dipertandingkan pada pemilihan parti Januari lalu.
Pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) yang telah diadakan pada 14 Januari lalu, parti itu meluluskan usul yang menggesa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihannya.
Pada Mac lalu, Saifuddin mengesahkan beliau memberikan parti itu pengecualian di bawah Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 yang membenarkan dua jawatan tertinggi kekal tidak dipertandingkan.
Hakim Amarjeet Singh menetapkan tarikh keputusan itu hari ini selepas mendengar hujahan daripada peguam Thalia Rohaina Abdul Latiff yang mewakili Satarriah Abdul Karim, Zaidi Abdul Majid dan P Vellasamy serta Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly.
Sattariah dan Zaidi adalah ahli UMNO Cawangan Lembah Pantai manakala Vellasamy merupakan ahli MIC Cawangan Lembah Pantai.
Ketiga-tiga mereka mendakwa keputusan Saifuddin melanggar Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan mengenai kesaksamaan, mengatakan ia menafikan ahli lain peluang mencabar penyandang , Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan, masing-masing untuk jawatan Presiden dan timbalan presiden.
Mereka berkata, tidak diberi hak untuk didengari oleh Saifuddin dan menteri itu tidak memberikan alasan keputusannya memberikan pengecualian kepada UMNO.
Ketiga-tiga mereka mahu mahkamah membatalkan keputusan Saifuddin yang memberikan pengecualian itu. – FMT – SM
BACA Akar umbi UMNO mohon jawatan Presiden dan Timbalan dipertandingkan