KRT Hutan Ketiau, hidupkan semula anyaman sarung cempedak sambil rai Hari Malaysia
ANYAMAN sarung cempedak. Pastinya ramai yang tidak pernah melihat sejenis anyaman ini yang berbentuk lonjong yang dihasilkan dari daun kelapa.
Insiatif Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Hutan Ketiau, Kampung Syed Omar di Jalan Batu Pahat, Bintong, Perlis telah memperkenalkan semula anyaman ini sempena meraikan Hari Malaysia wajar dipuji.
Sambutan Hari Malaysia ini diadakan di Dewan Terbuka Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Hutan Ketiau, Jalan Hutan Ketiau 7.
Setiausahanya, Ahmad Adam berkata, pertandingan ayaman sarung cempedak ini antara salah satu pertandingan yang diadakan bagi memeriahkan program ini yang melibatkan kanak-kanak dan dewasa.
“Kita mahukan kanak-kanak melihat sendiri kraftangan lama
supaya diwarisi mereka,” katanya.
Ketua Juri pertandingan, Norhanan Hassan dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis mengakui pertamakali dia melihat cara pembuatan kraftangan orang Melayu untuk dijadikan sebagai sarung buah.
Beliau berharap, lebih banyak lagi hasil kraf tradisional ditonjolkan dalam pertandingan seperti ini supaya tidak ditelan dek zaman.
Pertandingan membuat anyaman sarung cempedak ini disertai oleh empat orang.
Seperti dijangka dengan ketangkasan menghasilkan kraf ini membolehkan Nordin Salleh, 65 menjadi juara pertandingan menganyam sarung cempedak ini.
Beliau dapat menghasilkan lima sarung dengan cantik dan kemas dalam masa 15 minit.
Sementara Ahmad berkata, diadakan juga pertandingan menganyam ketupat palas yang juga semakin ramai kalangan anak muda yang tidak mempelajarinya.
Selain itu katanya, untuk kanak-kanak pula diadakan pertandingan mewarna, pakaian beragam dan basikal berhias.
Sebelum acara berakhir diadakan pertandingan lambung kasih yang melibatkan pasangan berlangsung dengan penuh meriah menandakan perpaduan erat itu bermula dari masyarakat sekampung. – SM