NasionalpilihanTravel

Khazanah seni, budaya dan warisan negara terus dipelihara – Nancy Shukri

MENTERI Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Seri Hajah Nancy Haji Shukri berkata, banyak rancangan dibuat oleh kementerian dalam usaha mengekalkan seni dan budaya negara.

Beliau berkata, antaranya ialah memulihara khazanah seni, budaya dan warisan negara, sama ada warisan ketara atau warisan tidak ketara (WTK) yang juga merangkumi aspek penyelidikan, dokumentasi, pewartaan dan promosi.

Nancy berkata demikian di Parlimen hari ini bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Krai (PAS) Tuan Abdul Latiff Abdul Rahman.

Tuan Abdul Latiff mempersoalkan, apakah usaha yang dilakukan oleh kementerian bagi memastikan budaya dan warisan negara kekal terpelihara serta menjana ekonomi rakyat setempat, khasnya dan negara, amnya.

Nancy berkata, aspek promosi yang dilakukan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) merangkumi inisiatif seperti penganjuran bengkel bagi mengetengah dan memperkenalkan warisan negara kepada segenap lapisan masyarakat

“Terdapat juga kerjasama strategik dengan penggiat industri seperti permainan tradisional dan gastronomi dilaksanakan.

“Inisiatif seterusnya, penganjuran program berbentuk persembahan, pameran, karnival dan demonstrasi,” jelas beliau.

Datuk Seri Hajah Nancy Haji Shukri

Katanya lagi, usaha-usaha membantu dalam mengangkat aset-aset warisan seni budaya yang bersesuaian untuk diiktiraf bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah juga di peringkat antarabangsa selaras dengan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN 2021).

Ujar beliau lagi, pemuliharaan WTK adalah seperti Mak Yong, Dondang Sayang, Silat, Upacara Wangkang yang diangkat bersama Negara China selain daripada pantun yang diangkat bersama dengan Indonesia dan tenunan songket.

“Apabila kita sudah mengenal pasti elemen-elemen WTK negara yang boleh diketengah dan disenaraikan di masa hadapan, kita jaga,” katanya.

UNESCO telah mengiktiraf Silat yang mana seni mempertahankan diri itu membawa kepada pendedahan dan pengetahuan masyarakat dunia, katanya.

“Maka, ia boleh membuka ruang kepada pengamal seni silat di Malaysia untuk mengamalkan sesuatu yang diminati mereka.

“Dan pada masa yang sama, dapat menjana pendapatan seperti persembahan, penganjuran kejohanan atau pertandingan, pembikinan dokumentari mahupun filem serta pembukaan kelas bagi mempelajarinya,” katanya.

Nancy berkata, ini membuktikan pengiktarafan WTK bukan sekadar pada nama sahaja tetapi boleh diambil peluang untuk memajukan lagi ekonomi Keluarga Malaysia. – SM

Artikel berkaitan > Malaysia terpilih duduki kerusi UNESCO IGC ICH sesi 2022-2026

 

(Visited 706 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button