AgamaKesihatanNasionalPenyakit

Kod etika baharu halang unsur agama dalam pengiklanan

PUSAT Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial mengalu-alukan keputusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menguatkuasakan kod etika baharu bagi mengekang penggunaan elemen keagamaan dalam mengiklan dan mempromosikan produk.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Mohd Khalib memberitahu portal berita FMT hari ini, perkara itu sepatutnya telah lama dilaksanakan memandangkan lambakan produk yang mengeksploitasi kepercayaan keagamaan dan kejahilan terhadap sains.

Beliau berkata, terdapat produk yang jelas mengeksploitasi segelintir masyarakat yang mudah ‘termakan’ dengan dakwaan keagamaan dalam membuat keputusan berkaitan kesihatan mereka dan keluarga.

“Ramai yang hidup dengan penyakit serius dan kronik seperti kanser dan kencing manis yang memerlukan rawatan perubatan yang betul.

“Sebaliknya mereka ‘digoda’ dengan dakwaan yang tidak berasas dan tidak terbukti kebenarannya,” katanya.

Kelmarin, Pengarah Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Mediha Mahmood berkata, Kod Kandungan 2022 telah didraf untuk menghalang pengiklan dan pemilik produk menggunakan elemen keagamaan untuk menarik pelanggan.

Beliau berkata, kod itu akan dikuatkuasakan menjelang hujung tahun ini dan menambah larangan berkenaan terpakai untuk penggunaan elemen keagamaan bagi semua agama, bukan saja Islam. Ini supaya agama tidak digunakan sebagai gimik pemasaran.

Azrul juga berkata, kod etika adalah penting untuk menghalang penjualan produk yang mendakwa mampu menyembuhkan kanser atau kencing manis dengan menggunakan kalimah keagamaan.

Katanya lagi, produk seperti itu hanya membahayakan malah mengganggu proses rawatan dan penjagaan yang sepatutnya untuk pesakit.

Bagaimanapun, Azrul percaya orang ramai tetap akan membeli produk yang sebelum ini diiklankan menggunakan elemen keagamaan walaupun sekatan diletakkan.

“Ini kerana golongan itu telah meletakkan kepercayaan penuh dalam barangan berkenaan.

“Apatah lagi kepercayaan agama sesuatu yang begitu sebati dengan kebudayaan dan masyarakat Malaysia berbanding bukti saintifik,” katanya. – SM

(Visited 247 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button