Nasional

9,490 di PKPD Amanjaya belum menjalani saringan Covid-19

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia menganggarkan seramai 9,490 orang di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Amanjaya, Kedah masih belum menjalani ujian Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah meminta penduduk terbabit agar tampil untuk melakukan ujian bagi mengekang Covid-19.

Menurutnya, sehingga 2 September 2020, seramai 12,870 orang telah disaring di kawasan terbabit iaitu Zon Kenanga, Zon Mawar dan Zon Melur. Dari jumlah itu satu kes dikesan positif Covid-19, 12,687 individu negatif; dan 182 individu masih menunggu keputusan.

“Syabas diucapkan kepada penduduk setempat yang memberi kerjasama yang baik kepada pasukan dari pelbagai agensi di lapangan.

“Namun begitu, dianggarkan seramai 9,490 orang masih belum menjalani saringan. Meskipun jumlah anggaran ini masih dalam semakan, namun pihak KKM tetap mengambil kesempatan ini untuk menyeru dan merayu mereka yang belum menjalani saringan untuk segera tampil ke hadapan ke pusat-pusat saringan yang disediakan,” kata Dr. Noor Hisham.

Sementara itu, terdapat enam kes baharu yang telah dilaporkan menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 153 kes.

Empat kes baharu adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara dan semuanya yang melibatkan bukan warganegara. Tiga kes import tersebut adalah dari negara  Indonesia dan satu Syria.

Manakala penularan di dalam negara adalah di kalangan warganegara Malaysia melibatkan satu kes daripada Kluster MV Glen dan satu kes saringan di tempat kerja di  Pahang dan telah dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan.

“Sehingga kini, terdapat empat kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana tiga kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 128 kes,” kata Dr. Noor Hisham.-SM

 

(Visited 149 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button