Politik

Pas…ular menyusur akar tidak hilang bisanya

TIBA-TIBA saja nama Pas muncul dalam radar politik tanah air – kemungkinan akan dibawa masuk dalam kerajaan persekutuan.

`Biar benar ni’ – di sebalik cakap-cakap yang `kuat mengiakan’ walaupun hakikatnya tiada kata putus atau pengesahannya daripada Pengerusi Pakatan Harapan sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ya, Pas bukan sembarangan parti. Rekod Pas dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) , 9 Mei 2018 membuktikan dengan bersendirian pun, pencapaian Pas di luar dugaan.

Parti itu meraih 18 kerusi Parlimen – merampas kembali Terengganu selain mengekalkan penguasaan Kelantan.

Perjuangan Pas untuk mencapai ke tahapnya hari ini bukan mudah .

Dari kemunculan sejak 23 Ogos 1951 sehingga berkembang menjadi sebuah pertubuhan politico-dakwah yang penting di negara ini, sejarah Pas penuh onak berduri.

Penyertaan Pas dalam pilihan raya 1959 biarpun hanya menang 13 kerusi parlimen daripada 104 yang dipertandingkan, telah memberikan kejayaan besar apabila Terengganu dan Kelantan berjaya dikuasai.

Sejurus selepas pilihan raya, perpecahan berlaku dalam kerajaan Pas di Terengganu dan ia jatuh, diganti dengan kerajaan Perikatan.

Pada 1964 dan 1969, prestasi Pas merosot dengan memperoleh hanya sembilan kerusi pada 1964 dan 12 kerusi pada 1969. Selepas rusuhan kaum 1969, Pas menyertai Barisan Nasional (BN) dan memenangi 14 kerusi.

Perpecahan berlaku dalam Pas dan parti itu keluar BN. Pada 1978, 1982 dan 1986, prestasi Pas menjunam semula. Ia mendapat lima kerusi pada 1978, lima kerusi pada 1982 dan hanya satu kerusi pada 1986.

Apabila Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan parti Melayu Semangat 46, Pas berpakatan dengannya. Dengan itu pada PRU 1990 dan 1995, Pas memenangi tujuh kerusi setiap PRU.

Pada 1999, Pas menyertai Barisan Alternatif bersama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Hasil kerjasama dalam Barisan Alternatif (PKR, Pas, DAP), kemenangan Pas bertambah kepada 27 pada 1999. Pada 2004, Pas memperoleh cuma tujuh kerusi.

Kemudian pada 2008 dan 2013, prestasi Pas meningkat semula. Pada 2008, Pas memenangi 23 kerusi dan pada 2013, 21 kerusi.

Pencapaian PRU-14 membuktikan Pas masih berbisa. Kesepakatan Muafakat Nasional Pas-UMNO hari ini seperti menyambung kembali pembentukan kerajaan campurannya dengan BN pada 1970-an.

Pas yang secara rasmi menyertai gabungan Parti Perikatan pada 1 Januari 1973, buat pertama kalinya menyertai pilihan raya umum pada 1974 tanpa menggunakan simbolnya sendiri, iaitu bulan bintang.

“Kemunculan sulung BN dalam Pilihan Raya Umum 1974 dikatakan paling hebat kerana dua parti pembangkang yang kuat ketika itu, iaitu Pas dan Gerakan menjadi parti komponen BN. Selain itu, masalah melibatkan perebutan kerusi antara parti gabungan untuk menghadapi pilihan raya umum tidak lagi timbul kerana ketokohan Tun Razak dalam merancang dan menyusun strategi.

“Strategi Tun Razak yang menjalin hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Republik Rakyat China telah berjaya mempengaruhi pengundi-pengundi Cina. Selain itu Persidangan Menteri-Menteri Luar Negara-Negara Islam yang berlangsung di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada pengaruh pengundi-pengundi Melayu dan sokongan ini secara tidak langsung berjaya menguatkan sokongan parti pemerintah, iaitu BN” (Syed Arabi Idid 2011: 39).

Keputusan pilihan raya umum tersebut menunjukkan BN memenangi 135 kerusi parlimen termasuk 47 kerusi yang dimenangi tanpa bertanding. Parti pembangkang yang kuat ketika itu, DAP hanya memenangi sembilan kerusi Parlimen.

Kemenangan lebih daripada dua pertiga yang dikecapi oleh BN pada PRU 1974 di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Abdul Razak ternyata bukan sahaja telah meyakinkan kerajaan bahawa formula kerjasama secara besar-besaran terbukti berjaya malah resipi itu amat menguntungkan semua kaum.

Meskipun ada `lukanya’ selepas kesepakatan itu, baik Pas mahupun UMNO barangkali kini tidak mahu lagi mengulangi apa yang diungkapkan peribahasa Inggeris “History repeats itself.”

Cuma selepas kesepakatan itu dilihat kian `menjadi’ dengan lima pilihan raya kecil (PRK) terakhir daripada 10 mencipta kemenangan buat pembangkang, barulah `bisa’ Pas semakin dirasai.

Adakah Pas – parti yang kelihatan merendah diri seolah-olah tiada apa-apa – akan dijemput masuk ke dalam Kerajaan Persekutuan di sebalik cakap-cakap penyingkiran DAP dan peluang untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi PM ke-8?

Wallahualam.

(Visited 401 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button