AgamaNasional

Penyebab maut jalan raya puasa dua bulan berturut-turut – Mufti Perlis

BERHATI-hatilah apabila memandu kenderaan. Elak daripada terlibat dalam kemalangan di musim perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang ini disebabkan oleh kecuaian diri sendiri.

Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Islam sebenarnya telah meletakkan hukuman khusus ke atas pemandu yang cuai sehingga menyebabkan ada nyawa yang melayang.

Katanya, hukuman berkaitan ini disebut dalam al-Quran dalam surah An Nisa ayat 92.

Beliau berkata, pemandu yang mengakibatkan kemalangan maut akan dikenakan Diyat iaitu denda sebagai gantian terhadap nyawa yang mesti diserahkan kepada waris si mati (mangsa kemalangan).

Tambah beliau, Diyat atau denda ini boleh diketepikan jika keluarga si mati memberikan kemaafan.

“Diyat atau denda ini yang dikenakan adalah 100 ekor unta yang boleh dinilai dengan kadar semasa dalam sekitar RM500,000,” katanya kepada wartawan SUARA MERDEKA di pejabat beliau di Kangar.

Beliau berkata, bayaran Diyat ini boleh dibantu oleh ahli keluarga pesalah jika dia tidak mempunyai jumlah kewangan yang mencukupi.

“Diyat juga boleh dibayar menerusi takaful yang menyediakan produk perkhidmatan yang selaras dengan hukuman ini,” katanya.

Mohd Asri berkata, pemandu yang menyebabkan kematian juga wajib berpuasa selama dua bulan berturut-turut atas kifarah yang dilakukan.

“Jika ia menyebabkan tiga kematian maka wajib tunaikan enam bulan puasa di mana dua bulan berturut-turut untuk setiap si mati,” katanya.

Mohd Asri berkata, jika pemandu ini wanita juga berpuasa selama dua bulan tetapi boleh berhenti semasa tempoh haid dan menyambung kembali selepas itu.

Beliau berkata, adapun perintah wajib berpuasa dua bulan itu sebagai menebus kesalahan di sisi Allah dan dapat menyucikan  jiwa untuk kembali tenteram.

“Jika gagal berpuasa selama dua bulan ini bermakna pemandu ini akan berhutang dengan Allah yang akan dibawa ke akhirat,” katanya.

Ini antara resolusi Seminar Feqah Jalan Raya anjuran Jabatan Mufti Perlis dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raja Malaysia (MIROS) di Kangar, Perlis pada 20 April lalu. – SM

(Visited 9,397 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button