Negeri

82 pokok ditanam sempena Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis Tahun 2025

KANGAR: Sebanyak 82 batang pokok daripada spesies Meranti Temak Nipis (Anthoshorea roxburgii), Merawan Siput Jantan (Hopea odorata) dan Keruing Belimbing (Dipterocarpus grandifloras) telah ditanam sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis Tahun 2025.

Simbolik majlis penanaman tersebut telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang berkenan berangkat ke acara anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Perlis itu.

Program ini merupakan sebahagian daripada kempen kesedaran bersempena Hari Hutan Antarabangsa. Sehingga kini, sebanyak lapan kempen penanaman pokok telah dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan, swasta dan institusi pendidikan, melibatkan seramai 460 peserta.

Demikian dipersembahmaklumkan oleh Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Ag. Shaffie bin Ag. Ahmadni kepada Tuanku Raja Muda sempena program tersebut yang diadakan di perkarangan Dewan Serbaguna Hutan Simpan Bukit Ayer.

Menurut Ag. Ahmadni, ‘Sebagai kesinambungan kepada usaha penghijauan ini, Nakawan Rainforest Festival akan dianjurkan pada 29 Mei hingga 1 Jun 2025, menampilkan pelbagai aktiviti berteraskan pendidikan alam sekitar dan pemuliharaan hutan. Selari dengan tema Hari Hutan Antarabangsa 2025 “Hutan dan Makanan (Forest and Food)”, festival ini menyasarkan penyertaan lebih 500 orang termasuk pelajar sekolah rendah, menengah, institusi pengajian tinggi serta orang awam’.

Antara aktiviti menarik yang dijadualkan termasuk Nakawan Rainforest Run, pertandingan paintball, Treasure Hunt, pertandingan bercerita dan pertandingan mewarna.

Sebagai rekod, Negeri Perlis telah mencatat sejarah apabila menjadi antara negeri terawal mencapai sasaran Kempen Penanaman 100 Juta Pokok, dengan kejayaan menanam satu juta pokok pada 24 Mei 2024. Sehingga 22 Mei 2025, sebanyak 1,039,759 pokok telah direkodkan ditanam di bawah Kempen Penghijauan Malaysia, sekali gus menunjukkan komitmen berterusan negeri ini dalam melestarikan alam sekitar.

Majlis perasmian penutupan Nakawan Rainforest Festival akan diadakan pada 1 Jun 2025 dan akan disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Sempena program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra, merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), turut berkenan menyempurnakan sumbangan kepada asnaf terpilih menerusi Kayuhan MAIPs Peduli.

Tiga penerima terpilih kali ini ialah Farah Azwanis Sharuden, 35 tahun dari Kampung Baru Sungai Batu Pahat, Jamilah Abdullah, 63 tahun dari Jalan Abi Batu Pahat, dan Fazilah Abd Rahman, 68 tahun dari kampung yang sama.

Setiap penerima menerima sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM700, Kit MAIPs Peduli, serta beras fidyah sebagai tanda keprihatinan MAIPs terhadap golongan yang memerlukan.

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button