Nasional

Lebih 5,000 jemaah tabligh belum tampil lakukan saringan

LEBIH 5,000 jemaah tabligh yang menyertai perhimpunan di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur, masih belum tampil membuat saringan COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata jumlah terkini yang telah disaring adalah 17,965 peserta dan sampel yang telah diambil adalah sebanyak 12,842.

“Sejumlah 1,254 kes adalah positif dan negatif adalah 7,084 dan masih menunggu keputusan adalah 4,504 orang,” katanya dalam sidang media, hari ini seperti yang dilaporkan oleh BERNAMA.

Katanya, daripada 150 pesakit yang positif COVID-19 hari ini, 63 daripadanya adalah daripada kluster Sri Petaling.

Mengenai kerjasama daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pelarian Rohingya yang didapati turut hadir ke perhimpunan tabligh itu, beliau berkata kolaborasi dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) turut membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam merawat wabak COVID-19 dalam kalangan pelarian dan PATI.

BACA:

Katanya, NGO tersebut adalah dari Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET), Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) dan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“PATI mungkin takut datang untuk mendapatkan rawatan di hospital tapi sekurang-kurangnya kalau mereka ke klinik (dengan bantuan NGO), kita ada data untuk jalankan rawatan dan saringan,” katanya.

Mengulas mengenai 100,000 kit ujian COVID-19 yang diterima dari China, Dr Noor Hisham berkata ia adalah kit ujian di makmal dan bukannya untuk kit ujian segera.

“Jadi kita telah mengenal pasti makmal yang akan menggunakan kit ujian tersebut,” katanya.

Selain itu, berkenaan kekangan bekalan reagen dari luar negara, katanya, bekalan reagen, atau bahan uji bagi COVID-19 telah diterima untuk semua hospital bagi melaksanakan ujian dengan kapasiti penuh.

“Kita juga akan meneruskan khidmat luaran ujian kita dengan tujuh makmal swasta,” katanya. – BERNAMA

(Visited 150 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button