fbpx
Nasional

8,105 pelajar Tingkatan Lima MRSM mula sesi persekolahan

SERAMAI 8,105 pelajar Tingkatan Lima dari 53 buah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara akan memulakan sesi persekolahan mulai hari ini dan esok, kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Azizah Mohd Dun.

Beliau berkata jumlah itu merupakan sebahagian daripada 36,789 pelajar MRSM, yang akan memulakan sesi pengajian di maktab masing-masing dalam suasana kebiasaan baharu sebelum mereka menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Menurutnya, MRSM Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dibuka hari ini manakala MRSM Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak serta Selangor) esok.

Azizah berkata MARA telah merangka garis panduan pembukaan semula MRSM selari dengan arahan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pendidikan, dan garis panduan ini perlu dipatuhi oleh waris pelajar dan para pelajar terbabit.

Garis panduan itu antara lain memperincikan tanggungjawab pentadbir MRSM, peranan guru terutama dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran bersesuaian, peranan pelajar daripada aspek penjagaan kesihatan diri serta pengamalan normal baharu serta peranan ibu bapa masing-masing, katanya.


“Semua pengetua dan tenaga pengajar sudah bersiap sedia untuk memulakan sesi persekolahan ini dengan memastikan bilik asrama dan setiap kelas disiapkan dengan mengikuti SOP ditetapkan termasuk amalan penjarakan sosial,” katanya kepada pemberita selepas melawat MRSM Kota Kinabalu, di Papar, dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, sesi pembelajaran secara dalam talian yang dilaksanakan oleh tenaga pengajar MRSM dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akan diteruskan bagi pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat, katanya.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pula telah membuat penjadualan semula buat kali kedua takwim peperiksaan di bawah kementerian itu dengan tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini dipinda ke 6 Jan hingga 9 Feb tahun depan.

Peperiksaan itu sebelum ini dijadual bermula 16 Nov hingga 7 Dis ini, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) yang sepatutnya bermula 23 hingga 30 Jun ini bagi ujian bertulis dan ujian lisan dipinda ke tarikh baharu iaitu 17 Ogos hingga 30 Sept ini.

Sesi pertama peperiksaan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) pula yang sepatutnya berlangsung pada 13 hingga 24 Mei ini bagi semester tiga dan semester satu akan dipinda kepada 3 hingga 14 Ogos ini dan 28 hingga 9 Okt ini.

Tarikh peperiksaan bagi sesi kedua untuk semester keempat dan semester kedua SVM juga dipinda iaitu masing-masing dari 21 Okt hingga 8 Nov dan 14 hingga 30 Okt ini kepada 18 hingga 29 Jan 2021 dan 17 hingga 28 Mei 2021. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button