Nasional

41 penduduk Kampung Orang Asli Batu 12, Gombak setuju pindah

SEBANYAK 41 penduduk Kampung Orang Asli Batu 12, Gombak yang terbabit dengan pembinaan Projek Jajaran Rel Pantai Timur (ECRL) bersedia berpindah ke penempatan baharu yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas.

Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) berkata, selain mengutamakan kebajikan penduduk terbabit,  pihak JAKOA turut mengadakan perbincangan, taklimat dan libat urus dengan penduduk berkenaan.

GAMBAR Google-Gambar hiasan-Penduduk Kampung Orang Asli Batu 12, Gombak.

“Ia bertujuan memberi penjelasan dan mendapatkan  maklum balas bersama penduduk, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Batu 12.

“Turut sama dalam sesi perbincangan ialah Jawatankuasa Bertindak Orang Asli melibatkan Jabatan Hutan Negeri, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak dan pemaju Malaysia Rail Link (MRL) serta lain-lain agensi di peringkat Persekutuan dan Negeri yang dilaksanakan sejak tahun 2022,” kata JAKOA dalam satu kenyataan, hari ini.

Terkini, pada 30 Mei 2023, satu sesi penerangan berkaitan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) ke 11/2023 bertarikh 12 April 2023 berhubung pemindahan masyarakat Orang Asli Batu 12 telah diadakan kepada 41 orang penduduk terlibat.

Sesi penerangan ini juga dihadiri oleh JPKKOA Batu 12, Gombak dan Jawatankuasa Bertindak Orang Asli Gombak, katanya.

Antara perkara yang dimaklumkan dalam sesi penerangan tersebut adalah:

  • Penempatan baharu 41 orang masyarakat Orang Asli Batu 12 Gombak di Kompartmen 1, Hutan Simpan Hulu Gombak (berada di antara Muzium Orang Asli dan Unit Logistik JAKOA) seluas 10 ekar.
  • MRL hendaklah melaksanakan tindakan sewajarnya dan menanggung kos-kos yang terlibat bagi tujuan penempatan baharu 41 orang penduduk termasuklah:
  1. membina rumah, kuarters, prasarana dan kemudahan asas;
  2. ii) Membayar ganti rugi pokok yang ditebang dan premium yang dikenakan untuk lokasi penempatan baharu; dan
    iii) Menanggung kos perpindahan dari penempatan sedia ada ke lokasi baharu.

“Pemindahan penduduk pula hanya akan dilaksanakan setelah semua syarat dan terma dipenuhi dan diselesaikan sepenuhnya,” ujar JAKOA dalam kenyataan yang sama.

Kata JAKOA lagi, hasil daripada penerangan tersebut, penduduk secara lisan bersetuju dengan pemindahan ke lokasi baharu yang ditetapkan.

Selain jarak daripada penempatan lama ke lokasi penempatan baharu adalah sejauh 400 meter, kata JAKOA, kemudahan yang ada berhampiran dengan Kampung Orang Asli (KOA) Batu 12, Gombak seperti Hospital Orang Asli Gombak dan Muzium Orang Asli dikekalkan dan tidak terjejas dengan Projek ECRL. – SM

 

(Visited 802 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button