Luar Negara

8 jemaah umrah Thailand positif Omicron

PULANG dari menunaikan umrah di Mekah, lapan jemaah Thailand disahkan positif varian Omicron.

Dua kumpulan jemaah yang tiba, masing-masing di Bangkok dan Phuket ditempatkan di kemudahan kuarantin sejurus tiba.

Penasihat Chularatchamontri-Thailand Preeda Chueaphudee berkata, seramai 30 jemaah umrah Thailand tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada 15 Disember lalu.

Beliau berkata, semua jemaah menjalani kuarantin wajib di sebuah hospital di Bangkok.

“Keputusan ujian Covid-19 menunjukkan tujuh sampel positif varian Omicron.


“Semuanya adalah kes import dan pesakit sedang menjalani kuarantin. Jadi, orang ramai tidak perlu panik,” katanya.

Sementara itu, pegawai kesihatan awam Phuket, Dr. Kusak Kukiatkul berkata, seorang jemaah umrah Thailand yang tiba di Phuket disahkan positif varian Omicron selepas pulang dari Mekah pada 13 Disember lalu.

“Lima daripada 137 jemaah yang tiba di sini disahkan positif Covid-19,” ujar beliau.

Katanya lagi, pesakit yang mempunyai gejala ringan atau tidak bergejala dibenarkan pulang tetapi di bawah pengawasan rapat.

Bagaimanapun, pada 17 Disember lalu, keputusan ujian penjujukan genom menunjukkan satu daripada lima pesakit berkenaan positif varian Omicron.

Sementara itu, ketua pejabat kesihatan daerah Pattani, Dr. Anurak Sarapap mengesahkan lelaki itu kembali dari Mekah dan meneruskan perjalanan ke Pattani.

“Ia kes Omicron pertama di wilayah itu. Pesakit itu kini dirawat di Hospital Khok Pho di Pattani,” katanya.

Sementara itu, media melaporkan, penduduk tempatan menyuarakan kebimbangan mengenai penduduk tempatan yang pulang dari Malaysia melalui sempadan darat.

Justeru pihak berkuasa telah meningkatkan penguatkuasaan di sepanjang sempadan.

Bangkok Post melaporkan kira-kira 57 rakyat Thailand yang pulang dari Malaysia sedang menjalani kuarantin.

“Tiada kes Omicron dikesan dalam kalangan mereka,” katanya. – SM

 

(Visited 81 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button