Luar Negara

PM baharu Sweden letak jawatan selepas beberapa jam dilantik

PERDANA menteri wanita pertama Sweden, Magdalena Andersson menyerahkan peletakan jawatannya hanya beberapa jam selepas pelantikan beliau.

Menurut laporan BBC, perdana menteri baharu Sweden itu melepaskan jawatannya kerana permohonan pembiayaan yang dibentangkan di Parlimen tidak diluluskan dan salah satu parti bawah kerajaan campuran iaitu Greens Party, menarik diri daripada gabungan itu.

“Saya sudah memberitahu speaker bahawa saya ingin meletakkan jawatan,” katanya.

Andersson turut berkata, beliau tidak mahu mentadbir kerajaan yang keabsahannya akan dipersoal.

“Terdapat amalan perlembagaan bahawa kerajaan campuran harus dibubarkan apabila satu parti menarik sokongan.


“Saya tidak mahu memimpin kerajaan yang kesahihannya akan dipersoalkan,” katanya.

Andersson berharap untuk cuba menjadi perdana menteri sekali lagi kerana ketua kerajaan minoriti hanya terdiri daripada parti Demokrat Sosial.

Dalam rentetan kemelut politik Sweden, Andersson menjadi wanita pertama yang dipilih sebagai perdana menteri selepas mencapai perjanjian saat akhir dengan Left Party bagi menaikkan pencen untuk pertukaran sokongan dalam undian semalam.

Bagaimanapun, Centre Party yang kecil, menarik semula sokongannya terhadap belanjawan yang dibentangkan oleh Andersson, susulan konsesi yang dibuat kepada Left Party.

Hal ini menyebabkan bajetnya gagal meraih undi yang mencukupi untuk diluluskan di parlimen.

Sebaliknya, Parlimen mengguna pakai belanjawan alternatif dibentangkan pembangkang konservatif, Moderat, Kristian Demokrat dan Demokrat Sweden berhaluan kanan.

Pemimpin Greens Party, Per Bolund, berkata, pihaknya tidak boleh bertolak ansur dengan ‘belanjawan bersejarah pembangkang, yang julung kalinya digubal bersama sayap kanan’ dan bertindak keluar daripada kerajaan.

Dalam pada itu, beliau mengatakan bahawa pemotongan cukai dirancang oleh pembangkang atas petrol akan membawa kepada pelepasan karbon yang lebih tinggi.

Speaker Parlimen, Andreas Norlen, berkata bahawa beliau menerima peletakan jawatan Andersson hari ini dan akan menghubungi pemimpin parti untuk langkah seterusnya. – SM

(Visited 29 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button