Politik

Komponen PH guna logo masing-masing di Sarawak tiada kaitan kalah di Melaka

Keputusan kompnena dalam PH menggunakan logo parti masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 tiada kaitan dengan kekalahan di PRN Melaka.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan dibuat oleh kepimpinan negeri itu dalam menentukan penggunaan logo berkenaan di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi nanti.

“Kami berikan kuasa autonomi kepada kepemimpinan parti di Sarawak untuk membuat keputusan, umum mengetahui mereka ada autonomi dari segi dasar dan keputusan politik.

“Kalau lihat sejarah, dalam pilihan raya yang lalu juga mereka gunakan logo masing-masing walaupun di Semenanjung kita buat logo bersama,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan banjir kepada penduduk Kampung Sungai Jai di Seremban hari ini.

Media sebelum ini melaporkan setiap parti komponen PH Sarawak akan menggunakan logo masing-masing di setiap DUN yang ditandingi pada PRN Sarawak kali ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 18 Disember ini sebagai hari pengundian PRN Sarawak, hari penamaan calon pada 6 Disember manakala pengundian awal pada 14 Disember.

Pada PRN Melaka parti komponen PH iaitu DAP, PKR dan Amanah bertanding di bawah lambang Pakatan Harapan.

Keputusan pilihan raya tersebut menyaksikan PH kalah teruk dengan DAP hanya memenangi 4 kerusi, Amanah satu manakala PKR tidak memenangi apa-apa kerusi.

Sementara itu, mengenai peruntukan sama rata oleh kerajaan kepada semua ahli parlimen, Loke berkata ia merupakan satu usaha yang sangat baik dilakukan oleh kerajaan ketika ini bagi mengelakkan wakil rakyat melompat parti pada masa akan datang.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata usaha dilakukan kerajaan ketika ini dilihat mampu memberi impak positif supaya semua wakil rakyat dapat memberi komitmen penuh dalam menyelesaikan masalah dihadapi oleh rakyat selain mampu menstabilkan politik di negara ini.

“Saya juga bercadang membangkitkan isu ini dalam perbahasan pada Persidangan Kedua (Belanjawan) Penggal Keempat DUN Negeri Sembilan minggu depan bahawa saya menyokong usaha membawa perubahan dan juga reformasi dalam cara kita berpolitik,” katanya.-SM

(Visited 180 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button