Kemalangan

Pemandu bas maut, enam penumpang cedera

Seorang pemandu bas maut manakala enam penumpang cedera selepas kenderaan dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler dalam kejadian di Kilometer 220.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa yang maut di tempat kejadian dikenali sebagai Zainuddin Jaidun, 49, dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan terbabit datang dari arah di mana bas terbabit membawa tujuh penumpang yang dalam perjalanan dari Singapura menuju ke Terminal Bas Seremban.

Beliau berkata, treler yang terbabit dalam kemalangan itu yang membawa muatan besi menghala ke Rawang.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila bas terbabit merempuh belakang treler dipandu seorang lelaki berusia 52 tahun yang ketika itu berada di lorong pertama.

“Akibat daripada rempuhan itu pemandu bas tersepit di bahagian tempat duduk sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.

“Enam penumpang pula mendapat kecederaan luka di kepala dan patah kaki. Kesemua mereka kemudian dihantar ke Hospital Rembau bagi rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arshad berkata, Kedua-dua kenderaan terbabit kini ditahan sebelum dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk tindakan lanjut.

Katanya, mangsa yang maut telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – SM

 

(Visited 42 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button