MahkamahNasional

Najib akan kemuka representasi baharu gugur dakwaan seleweng RM6.6 bilion

PEGUAM Datuk Seri Najib Razak akan mengemukakan representasi baharu untuk menuntut pihak pendakwaan menggugurkan pertuduhan terhadapnya kerana didakwa menyeleweng RM6.6 bilion dana awam melalui pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (Ipic)

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, ini susulan perkembangan baharu dalam kes itu yang menyaksikan kerajaan baru-baru ini menyelesaikan pertikaian undang-undangnya dengan Ipic.

Beliau berkata, jumlah penyelesaian itu berkaitan dengan pertuduhan dihadapi bekas perdana menteri itu.

“Kami menggesa mahkamah melapangkan perbicaraan bulan ini dan bulan depan,” katanya kepada Mahkamah Tinggi.

Shafee berkata, pihak pembelaan sebelum ini menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 2020 tetapi ditolak.

Peguam K Kumaraendran yang mewakili tertuduh bersama Irwan Serigar Abdullah memberitahu mahkamah baru-baru ini, beliau telah mengemukakan representasi kepada AGC bagi pihak anak guamnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Saifuddin Hashim Musaimi mengesahkan kepada mahkamah, pihak pendakwaan menerima representasi Irwan dan perkara itu dirujuk kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

“Sementara itu, kami berharap mahkamah dapat melapangkan perbicaraan sementara menunggu keputusan peguam negara,” katanya.

Hakim Jamil Hussin membenarkan penangguhan itu dan menetapkan satu lagi tarikh sebutan kes pada 29 Mei untuk representasi.

Najib dan Irwan dituduh bersama menyeleweng RM6.6 bilion dana kerajaan untuk pembayaran kepada Ipic pada 2018.

Peguam mereka sebelum ini memohon perintah melepas tanpa membebaskan (DNAA) daripada mahkamah atas alasan perbicaraan tidak pernah dimulakan.

Bagaimanapun, Jamil menolak permohonan itu dengan berkata pihak pendakwaan bersedia untuk perbicaraan. – SM

 

(Visited 41 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button