BeritaPendidikan

71 tidak dapat hadir sesi persekolahan di Melaka

Seramai 71 pelajar tidak dapat hadir memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini kerana masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Jasin, kata Exco Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin.

Menurutnya, beberapa sekolah juga masih menangguhkan sesi persekolahan selama seminggu apabila sekolah
terbabit masih digunakan sebagai PPS.

Bagaimanapun katanya, pelajar sekolah terlibat tetap menjalani sesi pengajian dan pembelajaran di rumah
(PdPR) dalam tempoh tersebut.

Beliau berkata, keseluruhannya seramai 150,355 pelajar memulakan sesi persekolahan secara bersemuka bagi sesi 2021/2022.

Jelasnya, daripada jumlah tersebut seramai 85,136 adalah murid sekolah rendah dan 65,219 pelajar sekolah menengah.

“Sesi persekolahan bersemuka berjalan lancar hari ini cuma ada beberapa sekolah di Jasin tidak dapat dibuka kerana masih dijadikan sebagai PPS dan sekolah itu terpaksa ditutup seminggu.

“Insya-Allah saya harap sekolah terbabit dapat dibuka semula dan pelajar dapat menghadiri sesi persekolahan seperti biasa apabila kesemua mangsa banjir pulang ke rumah masing-masing nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan dan mengedarkan pelitup muka kepada pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Haji Abdul Malek, Cheng, Melaka.

Rais berkata, pelajar yang kehilangan atau rosak buku teks akibat banjir yang melanda di Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin akan dibantu oleh Pejabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Ujarnya, pihak terbabit akan memberikan buku teks yang baharu bagi mereka dapat menjalani sesi persekolahan.

(Visited 156 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button