Luar Negara

MRA buka pejabat satelit di Gaziantep dan salur bantuan sehingga RM1.2 juta

Malaysian Relief Agency (MRA) membuka sebuah pejabat satelit MRA di Gaziantep sejak beberapa bulan lepas untuk memastikan kordinasi bantuan kecemasan dapat disampaikan dengan berkesan.

MRA turut menyalurkan bantuan bernilai RM 1.2 juta kepada 642,000 individu di Turkiye dan Syria yang terkesan dengan bencana tersebut hasil sumbangan daripada rakyat Malaysia.

Presiden Malaysian Relief Agency (MRA), Dr Mohd Daud bin Sulaiman memaklumkan, terdapat keperluan mendesak untuk khidmat kesihatan kepada penduduk akibat kecederaan gempa dan penyakit selepas gempa.

“MRA turut memberi sumbangan berupa bakul makanan, kit kebersihan, barangan dan susu bayi, sumbangan khemah, alatan pemanas, pakaian musim sejuk dan makanan bermasak.

“MRA menyediakan perkhidmatan rawatan perubatan dan kesihatan percuma melalui klinik bergerak dan klinik statik di khemah-khemah penempatan kepada hampir 2,000 buah keluarga dengan menggunakan khidmat doktor dan paramedik terlatih,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan itu, MRA juga telah menghantar doktor pakar, pegawai perubatan, ahli farmasi dan jururawat dari Malaysia untuk bersama-sama membantu merawat pesakit di sana.

Di samping itu, 3 buah kilang roti yang rosak akibat gempa bumi telah dibaikpulih oleh MRA di daerah Jenderis, Syria.

“Ketiga-tiga kilang ini menghasilkan 15,000 keping roti setiap hari dan diedarkan bagi menampung keperluan 60,000 keluarga yang memerlukan di sana.

“Dijangka projek ini akan berterusan sehingga akhir tahun dan akan mengurangkan beban mereka yang kehilangan pendapatan,” katanya dalam kenyataan itu.

Dengan berlalunya bulan Ramadhan yang lepas, projek Infaq Ramadhan MRA di Turkiye dan Syria telah diteruskan dengan melaksanakan program berbuka puasa yang memberi manfaat kepada 3,125 buah keluarga.

Bakul makanan yang terdiri daripada makanan asas bulanan dan masakan panas telah diedarkan agar mereka meraikan bulan ini dengan penuh kegembiraan.

Bagi meneruskan bantuan MRA di bumi Turkiye-Syria ini, MRA melancarkan projek “Baitul Syukur”.

Projek ini adalah pembinaan rumah penempatan jangka panjang berharga RM 13,500 sebuah yang akan memanfaatkan lebih 220 buah keluarga yang telah kehilangan tempat tinggal dan masih tinggal di dalam khemah sementara yang begitu daif.

MRA mensasarkan RM 3 juta untuk keseluruhan projek ini.

MRA juga akan meneruskan kerjasama dengan syarikat perkapalan Northport untuk menghantar tiga kontena barangan keperluan seperti makanan, barangan bayi, alatan perubatan dan pakaian untuk dihantar ke Syria melalui jalan laut dari Malaysia ke pelabuhan di Turkiye.

Justeru MRA ingin membuka peluang kepada rakyat Malaysia dan syarikat korporat yang ingin menyumbang untuk projek “Baitul Syukur” dan barangan-barangan keperluan asas untuk dihantar ke Syria melalui jalan laut.

Segala sumbangan boleh dibuat ke akaun Maybank di atas nama “Malaysian Relief Agency Berhad” dengan no akaun 5640-9820-8020 atau hubungi 03-91744672 untuk pertanyaan lanjut.

(Visited 201 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button