Nasional

70 peratus sembuh Covid-19, jangkitan baru meningkat 105 kes

PETUGAS Kementerian Kesihatan Malaysia berjaya menyembuhkan 70.05 peratus atau 4,326 orang yang dijangkiti virus maut Covid-19.

Dalam tempoh 24 jam lalu seramai 116 orang lagi telah sembuh dan dibenarkan pulang hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah  sebanyak 105 kes baharu dikesan hari ini dengan 11 daripadanya merupakan kes import.

Manakala 60 kes baharu yang lain dilaporkan di tiga lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan iaitu di Selangor Mansion (4 kes), Pusat Bandar Utara dan Sekitar Pasar Borong KL, Selayang  (36 kes) serta Selayang Baru (20 kes).

Ini menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang dijangkiti virus itu adalah sebanyak 6,176 kes.

Dr. Noor Hisham berkata, pesakit yang masih dirawat adalah seramai 1,747 orang  dan daripada jumlah itu seramai 31 orang dirawat di unit rawatan rapi  dengan 12 orang daripada mereka memerlukan bantuan alat pernafasan.

Tiada kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan dengan jumlah kematian kekal103 kes.

Sementara itu menurut Dr. Noor Hisham, masyarakat tidak perlu khuatir mengenai peningkatan kes import atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kerana mereka sudah diasingkan dan kesihatan disaring lebih awal.

Bagi kes penularan COVID-19 dalam kalangan masyarakat setempat, beliau berkata, ia dikenal pasti melalui aktiviti survelan klinikal jangkitan COVID-19 yang sudah lama dilaksanakan Kementerian Kesihatan.
Sementara itu BERNAMA melaporka Dr. Noor Hisham sebagai berkata, risiko penularan COVID-19 secara mendadak di negara ini masih wujud sekiranya rakyat lalai dan alpa dalam mengamalkan normal baharu.
Beliau berkata oleh itu, kerjasama dan komitmen semua lapisan masyarakat dalam memainkan peranan masing-masing adalah sangat penting bagi memastikan kita berjaya menewaskan wabak tersebut.

“KKM (Kementerian Kesihatan) ingin mengingatkan rakyat Malaysia bahawa pandemik COVID-19 ini belum berakhir.

“Secara global, sebanyak 187 negara terkesan dengan jumlah kes positif COVID-19 yang kini mencecah 3,343,777 dengan 238,650 kematian,” katanya.

Beliau berkata rakyat perlu terus mengamalkan jarakan sosial yang selamat, digalakkan memakai penutup hidung dan mulut terutama di kawasan umum, kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan pensanitasi tangan serta mengelak sebarang bentuk perhimpunan.

Susulan lengkung penularan COVID-19 di negara ini telah diratakan, Dr Noor Hisham berkata hospital kini mempunyai lebih banyak kapasiti dalam merawat lebih ramai pesakit wabak itu.

Misalnya, kata beliau, kadar keseluruhan bagi penggunaan katil di 40 hospital yang dikhususkan bagi merawat COVID-19 dan 26 pusat rawatan COVID-19 berisiko rendah adalah 17 peratus.

“Selain itu, kadar penggunaan bagi katil unit rawatan rapi (ICU) yang dikhususkan untuk pesakit disyaki dan disahkan positif COVID-19 adalah tujuh peratus atau 31 daripada jumlah 422 katil.

“Penggunaan alat bantuan pernafasan pula adalah hanya satu peratus atau 12 daripada jumlah 1,059 alat itu,” katanya. -SM

(Visited 62 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button