Nasional

Tujuh kampung dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat

SEBANYAK tujuh buah kampung di Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Perkampungan yang mempunyai 3,918 penduduk dan 700 buah rumah itu dikenakan PKPD selepas 71 penghuni Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah di Batu 23 di kawasan tersebut dikesan positif COVID-19.

Pengumuman dibuat oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan sebentar tadi.

“Mengambil kira jumlah kes yang tinggi di sekolah tersebut kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan pergerakan Diperketat, arahan kedua selepas Simpang Renggam di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui Hulu Langat.

“Ini termasuk tujuh kampung, iaitu dua perkampungan Orang Asli dan 5 perkampungan Melayu. Perintah ini akan berkuat kuasa mulai tengah malam ini 30 Mac 2020 hingga 13 April 2020,” kata Ismail Sabri.

Ini adalah kali kedua kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD. Sebelum ini dua kawasan di Simpang Renggam, Johor iaitu  Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid dikenakan PKPD.

Ini susulan jumlah kes positif COVID-19 yang tinggi di dua kawasan tersebut iaitu 61 kes.

[BACA ARTIKEL] Perintah Kawalan Pergerakan di Simpang Renggam diperketatkan

Dengan pelaksanaan PKPD, polis, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan mengawal seluruh kawasan terbabit. Semua laluan keluar dan masuk akan ditutup.

Penduduk dan pelawat yang telah berada di kawasan tersebut tidak dibenarkan keluar sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan.

Bukan penduduk tempatan dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan. Jabatan Kebajikan Masyarakat akan membekalkan makanan asas kepada penduduk terbabit selama 14 hari.- SM

(Visited 82 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button