Nasional

Tindakan pantas pemandu lori berjaya tangkap penyamun di Gombak

TINDAKAN pantas seorang pemandu lori yang membuka pintu kenderaannya akhirnya membawa kepada penangkapan dua lelaki yang sebelum itu menyamun sebuah kereta di Gombak, semalam.

Difahamkan, kedua-dua lelaki itu melakukan jenayah tersebut dengan menaiki motosikal sebelum menyamun sebuah kenderaan yang sedang berbaris di sekatan jalan raya di Plaza Tol Gombak arah Bentong.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi semalam.

“Kejadian samun itu telah disedari pemandu lain yang mula membunyikan hon masing-masing. Suspek yang panik kemudian cuba melarikan diri.

“Namun seorang pemandu lori telah membuka pintunya hingga suspek yang menaiki motosikal terjatuh.

“Pemandu lori tersebut dengan beberapa lagi orang awam telah membantu untuk menahan kedua-dua suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Arifai, kedua-dua suspek berusia 24 dan 28 tahun itu kemudian diserahkan kepada anggota polis yang melakukan sekatan jalan.

Ujarnya, kedua-dua suspek juga berjaya melarikan beg tangan mangsa yang mengandungi pelbagai dokumen peribadi dan wang tunai RM90.

“Hasil semakan mendapati motosikal jenis SYM digunakan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dilaporkan hilang di Taman Melawati.

“Kita turut menemukan dua beg tangan mengandungi dua kad pengenalan wanita milik dua mangsa samun dalam dua kejadian berasingan di Sentul dan Brickfields, yang turut berlaku semalam,” katanya.

Jelasnya, kedua-dua suspek kini direman lima hari mulai hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan

Tambahnya, pihaknya berjaya menyelesaikan empat kes samun di daerah Gombak dan Kuala Lumpur dengan penangkapan dua suspek berkenaan. -SM

(Visited 292 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button