fbpx
Jenayah

7 direman kes sindiket manupulasi maklumat peribadi pengguna telefon bimbit

TUJUH individu direman empat hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dengan kes satu sindiket yang dipercayai mengaut keuntungan jutaan ringgit hasil daripada memanipulasi maklumat peribadi pengguna telefon bimbit.

BERNAMA melaporkan hari ini, sindiket itu berjaya ditumpaskan oleh SPRM dalam satu operasi khas sekitar Lembah Klang, semalam.

Mereka yang ditahan reman adalah antara lapan individu termasuk pengarah syarikat dan petugas teknikal  di tiga syarikat.

Majistret Mahkamah di Putrajaya, Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman itu yang bermula hari ini sehingga 25 Julai selepas membenarkan permohonan SPRM yang dibuat menurut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Seorang lagi individu yang ditahan semalam, dibebaskan dengan jaminan SPRM.


Menurut sumber SPRM, kesemua individu itu disyaki terbabit, menerusi tiga syarikat yang disiasat, telah menyediakan perkhidmatan “sms content services provider” iaitu penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berbayar kepada pemegang telefon bimbit di seluruh negara.

Menurut sumber itu lagi, syarikat-syarikat tersebut  dipercayai beroperasi sejak lima tahun lalu, menghantar SMS berbentuk promosi atau untuk perkhidmatan tertentu kepada pelanggan tanpa persetujuan pengguna dan dikenakan caj bayaran tertentu bernilai RM0.50 sen hingga RM4.00 bagi setiap SMS yang dihantar tanpa disedari oleh pengguna.

Menurut sumber itu, sasaran sindiket tersebut kebanyakannya adalah pengguna perkhidmatan talian prabayar.

Selain keuntungan yang dikutip secara haram daripada pengguna telefon bimbit, sindiket juga membuat tuntutan kepada syarikat-syarikat telekomunikasi (telco) sebagai caj perkhidmatan, kata sumber itu lagi.

Tambah sumber itu, sindiket tersebut juga dipercayai menyogok kakitangan telco bagi mendedahkan nombor dan butir peribadi pengguna untuk disalahgunakan. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button