Nasional

Seluruh negara bergemerlapan sambut tahun 2020

DETIK 12 tengah malam tadi sempena menjelangnya ketibaan tahun baharu 2020 menyaksikan sambutan penuh warna-warni di seluruh negara, dengan di ibu kota pelbagai imej muncul menerangi langit di sekitar Dataran Merdeka, manakala percikan bunga api turut dilihat menerangi beberapa bandar utama di seluruh negara.

Sebaik jam besar bangunan Sultan Abdul Samad berbunyi 12 kali, ruang udara sekitar Dataran Merdeka terus dihiasi dengan Pertunjukan Cahaya di Langit (Light Show in the Sky) sebagai simbolik menyambut kedatangan tahun baharu 2020.

Pertunjukan yang menjadi elemen istimewa sambutan tahun 2020 serentak dengan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) itu menampilkan pelbagai formasi grafik seperti wau, burung Kenyalang, durian Musang King, bendera Malaysia Jalur Gemilang dan beca selama lebih 10 minit diikuti percikan bunga api pelbagai warna.

Puluhan ribu warga kota membanjiri Dataran Merdeka malam ini bagi menyambut kehadiran tahun 2020 dan menyaksikan majlis pelancaran VM2020 oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Turut hadir isteri perdana menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta menteri-menteri kabinet.

Sambutan besar-besaran menjelang 2020 dengan gabungan beberapa komponen acara di Dataran Merdeka itu bermula seawal pukul 8.45 malam, bermula dengan nyanyian lagu ‘Negaraku’ dan Malaysia Bersih.

Terdahulu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi melancarkan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Krismas 2019.

Turut memeriahkan suasana adalah persembahan ‘Malaysia Time Capsule’ oleh Istana Budaya, disusuli dengan konsert nyanyian beberapa artis terkemuka tanah air termasuk Datuk Jefrydin dengan tema Pop Yeh Yeh, Elvira Mentor (lagu-lagu lama), Asmidar (Irama Malaysia), Siti Nordiana (Pop Balada) serta Han Byul (K-Pop) dan dendangan lagu-lagu Bollywood.

Sementara itu, seorang pelancong dari Perancis Fontes Thibault, 31, ketika ditemui Bernama meluahkan rasa gembira kerana dapat menyambut tahun baharu 2020 di Malaysia.

“Kami belum pernah sampai ke Malaysia sebelum ini, jadi apa salahnya… ada banyak masa di sini, jadi kami sambut Tahun Baharu di negara asing yang belum pernah kami lawati sebelum ini..,” katanya.

Pengunjung tempatan Rosli Hanafi, 36, dari Batu Caves pula berkata sambutan tahun baharu di ibu kota merupakan antara perkara yang ditunggu saban tahun.

“Semasa menjadi pelajar lagi, setiap tahun saya akan datang sambut tahun baharu di Dataran Merdeka. Sekarang dah ada keluarga pun, saya masih datang ke sini untuk menyambutnya,” kata bapa kepada seorang anak itu.

Di PERAK, lebih 10,000 pengunjung memenuhi dataran Maritim, di Lumut, yang menadi lokasi sambutan Ambang Tahun Baharu 2020.

Program yang bermula pukul 11 malam itu diserikan dengan persembahan kebudayaan pelbagai kaum dengan tarian yang menggabungkan gerak-geri tarian tradisional tiga kaum terbesar negara, yakni kaum Melayu, Cina dan India.

Sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan seperti Wani Shaz dan Sham Visa selain pertunjukan bunga api tepat pukul 12 tengah malam.

Di KUANTAN, ribuan orang awam berkumpul di Zoo Mini Taman Teruntum di sini, bagi menyambut tahun baharu yang diadakan serentak dengan pelancaran Nite Zoo dan VM2020 peringkat negeri Pahang.

Sambutan yang diadakan secara sederhana itu turut melibatkan persembahan pentomin, koir dan silap mata dengan persembahan bunga api tepat pada 12 tengah malam, menandakan bermulanya tahun 2020.

Di KUCHING, hujan sejak pagi tidak menghalang lebih 10,000 masyarakat dan pelancong menyertai Fiesta Countdown 2020 di Tebingan Sungai Kuching.

Sambutan anjuran Kementerian Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaaan Sarawak dengan kerjasama Majlis Seni Sarawak turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Selain persembahan tarian khas ‘Inspirasi Pertiwi’, penampilan istimewa artis tempatan, Dayang Nurfaizah, Andi Bernadee dan Jatt dari kumpulan Black Dog Bone turut mencuri tumpuan.

Fiesta itu diteruskan dengan simbolik ‘kiraan detik 2020’, pertunjukan bunga api dan konsert inspirasi 2020.

Di MELAKA, lebih 5,000 orang termasuk pelancong dari dalam dan luar negara menghadiri Majlis Pelancaran Melaka Coundown Fiesta 2019 dan Pelancaran VM2020 Peringkat Negeri Melaka di Menara Taming Sari, Bandar Hilir di sini.

Memeriahkan acara ialah Tarian Kebudayaan Selamat Datang, persembahan artis jemputan, pertunjukan bunga api selain acara kiraan detik ketibaan Tahun Baharu 2020.

Di JOHOR, lebih 5,000 pengunjung membanjiri Dataran Marina Harbour di Iskandar Puteri di sini bagi menyambut 2020 dan menyaksikan persembahan kebudayaan serta mini konsert oleh penyanyi dan kumpulan tempatan seperti Joe Filzzow, DJ Dave, Bunga Isme, The Couple Band dan Orkes A Hizadin seawal pukul 9.00 malam tadi.

Dua minit sebelum pukul 12 tengah malam, maskot Sukan Malaysia 2020 iaitu Jimi menyerahkan replika gambus kepada Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal untuk diletakkan di atas platform yang disediakan sebagai gimik pelancaran menandakan bermulanya Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Johor 2020.

Pertunjukan bunga api turut diadakan sebagai acara kemuncak sambutan malam ini.

Di GEORGE TOWN, kemuncak sambutan 2020 di The TOP Penang di Komtar menyaksikan percikan bunga api dari puncak bangunan di tingkat 68 itu, menerangi langit malam bandar raya Pulau Mutiara yang turut boleh dilihat oleh penduduk di sebahagian kawasan di Seberang Perai.

Di SELANGOR, sambutan ambang tahun baharu diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam dan Taman Tema I-City yang dikenali sebagai ‘taman lampu digital’.

Pengunjung di kedua-dua tempat itu dihiburkan dengan pelbagai persembahan seni dan tarian serta pertunjukan bunga api tepat pukul 12 tengah malam.

Di KELANTAN, persembahan kebudayaan dan pertunjukan bunga api diadakan di Sungai Golok, di sempadan Malaysia-Thailand sempena sambutan VM2020 serentak dengan sambutan tahun baharu 2020.

Lebih 2,000 orang membanjiri Tapak Festival Dewan Bandaran Sungai Golok bagi menyaksikan majlis gilang-gemilang itu.

Di NEGERI SEMBILAN, sambutan ambang 2020 diadakan di Lexis Hibiscus Port Dickson, dengan pertunjukan bunga api panaromik berlatarkan irama merdu dimainkan sebagai acara kemuncak sambutan itu.

Kira-kira 3,000 pengunjung turut dihiburkan dengan pertunjukan api oleh Kelab Sukan dan Rekreasi hotel di kawasan pentas utama Konsert Tahun Baharu yang terletak di tepi pantai.

Di KEDAH Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat melancarkan persembahan bunga api terbesar negeri sempena sambutan 2020 di pulau buatan manusia, Paradise 101, Langkawi.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang sambutan ambang tahun baharu seperti jualan makanan dan minuman serta persembahan yang dihadiri 1,500 orang pengunjung di pulau yang terletak ke barat laut pulau legenda ini.

Sementara itu, di ALOR SETAR hampir 400 peserta daripada pelbagai lapisan peringkat umur dan masyarakat menyertai acara larian Alor Setar Festival Ambang 2020 sempena sambutan tahun baharu.

Peserta dan pengunjung juga disajikan dengan persembahan bunga api tepat pukul 12 tengah malam di kawasan belakang Muzium Negeri Kedah. – BERNAMA

(Visited 336 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button