Politik

Lokman Adam malu bertuankan Presiden yang lemah

AHLI Majlis Kerja Tertinggi, Datuk Lokman Noor Adam berkata, beliau amat malu hari ini kerana mempunyai seorang Presiden yang lemah dan tiada jati diri.

Katanya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini tiba-tiba muncul dalam mesyuarat JK Perhimpunan Muafakat Nasional UMNO yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Tajuddin Abd Rahman berkata parti itu tidak dapat mengelak daripada bekerjasama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana demi menjaga Muafakat Nasional, disebabkan PAS hendak kerjasama dengan pemimpin berkenaan.

Sedang UMNO, kata Lokman adalah sebuah parti keramat yang berusia 72 tahun dan selama tempoh tersebut, UMNO sentiasa memimpin rakan-rakan komponen yang bekerjasama dengannya.

“Sungguhpun sebagai seorang abang, kita boleh belajar dan bekerjasama dengan PAS dalam soal mendaulahkan Islam, namun adalah tidak masuk akal bahawa UMNO perlu mengikut PAS menyokong seorang diktator yang zalim dan meninggalkan Mantan Presiden UMNO yang sedang dianiaya oleh Mahathir.

Katanya, Tuan Guru Hj Hadi sendiri lebih tegas dengan Tun Mahathir dengan menyatakan bahawa sebarang kerjasama tidak boleh meninggalkan Dato Seri Najib Tun Razak yang kini mendapat sokongan rakyat.

Kenyataan Zahid itu katanya, jelas membuktikan bahawa beliau adalah manusia yang suka menyalahkan orang lain demi menghalalkan tindakannya.

Selepas guna nama Hj Hadi, katanya, untuk menghalalkan tindakannya berunding dengan Mahathir, Zahid mengguna nama Bossku pula.

“Yang dia tidak cerita, perundingan dengan Mahathir hanyalah untuk menyelamatkan dirinya dari 87 pertuduhan dan kembali dalam kabinet.

“33 pertuduhan yang beliau hadapi kini mendapat tawaran pilihan dengan hukuman lebih rendah.

Ini juga boleh dianggap bukti jelas rundingan telah berlaku. Dari pertuduhan yang boleh membawa hukuman denda atau penjara 20 tahun setiap pertuduhan, kini tinggal denda atau penjara maksimum 2 tahun sahaja,” katanya.

“Bossku tidak pernah melantik Zahid menjadi perunding bagi menyelesaikan kes beliau. Malah Bossku meminta agar UMNO tidak melibatkan diri dengan kesnya, kerana beliau yakin beliau berada di pihak yang benar dan mampu membuktikannya di mahkamah jika mahkamah berlaku adil tanpa campurtangan politik,” katanya.

Lokman turut mempersoalkan ketakutan presiden itu tentang tindakan pengharaman UMNO oleh Mahathir.

“Adakah disebabkan UMNO mahu diharamkan dan akaun UMNO telah dibekukan oleh diktator zalim bernama Mahathir, maka solusi yang mampu diambil oleh Zahid hanyalah dengan tunduk dan berkerjasama dengan Mahathir.

“Jika ini sahaja yang mampu Zahid lakukan, maka sewajarnya beliau melepaskan jawatan beliau sebagai Presiden UMNO. Lebih baik buat Pemilihan semula sekarang supaya ahli ada hak untuk memilih pasukan yang mahu menentang Mahathir atau pasukan yang mahu berkerjasama dengan Mahathir,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya UMNO diharamkan supaya ianya boleh menghalalkan penyokong Hishammuddin dan Zahid menyertai Mahathir, beliau yakin lebih 90 peratus ahli UMNO akan mengikut Najib untuk mengambilalih mana-mana parti lain.

“Jangan harap ahli di bawah mahu mengikut manusia bernama Mahathir atau mana-mana manusia yang boleh diperalat atau dikudakan oleh Mahathir.

“UMNO perlu pemimpin yang bersedia untuk lawan bagi membela nasib rakyat, bukan mereka yang sanggup berkompromi dengan penguasa demi menyelamatkan diri penjara dan mengejar jawatan dan habuan,” katanya.

(Visited 370 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button