Travel

Sarawak cadang bawa pulang lebih 100 rangka tulang manusia purba

KUCHING, 2 Feb — Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak bercadang membawa pulang lebih 100 rangka tulang manusia purba berusia kira-kira 40,000 tahun yang ditemukan di Gua Niah dan kini disimpan di Florida, Amerika Syarikat pada bulan ini atau Mac depan.

Menterinya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ketika ini tulang terbabit disimpan di Universiti Florida dan beliau akan ke sana bagi menguruskan penghantaran tulang terbabit ke Sarawak.

“Diharapkan ia (tulang manusia purba terbabit) akan sampai di sini (Sarawak) dalam bulan Februari atau Mac ini,” katanya semasa berucap ketika merasmikan Pesta Menuai Pongal Tahunan Ke-5 anjuran Persatuan Malaysia Hindu Sangam Sarawak di Tebingan Kuching, di sini, hari ini.

Katanya tulang manusia purba terbabit ditemukan di Gua Niah sewaktu Kurator Muzium Sarawak yang pertama, Tom Harisson  melakukan kerja penggalian di gua terbabit di antara 1957 dengan 1967 tetapi Sarawak ketika itu tiada universiti bagi melakukan penyelidikan lanjut mengenai penemuan itu.

Lebih 200 tulang rangka manusia purba ditemukan di pintu barat Gua Niah dan daripada jumlah itu sebanyak 122 tulang terbabit dibawa menggunakan kapal ke Universiti Nevada di Amerika Syarikat bagi dijadikan bahan penyelidikan.

Abdul Karim berkata pihak Universiti Nevada kemudiannya menghantar tulang terbabit ke Universiti Florida yang turut berminat melakukan penyelidikan ke atas tulang berkenaan dan kemudian terus menyimpannya selepas selesai penyelidikan itu.

“Nasib baik apabila kami memeriksa arkib kami, tulang-tulang terbabit didapati hanya dipinjamkan (kepada universiti di Amerika Syarikat), jadi kami menulis kepada mereka yang kami mahukan tulang tersebut dipulangkan semula,” katanya.

Beliau berkata lebih 100 tulang manusia purba itu dijangka akan dipamerkan di Kompleks Muzium Sarawak yang baru siap dibina dan sedang menjalani kerja ubah suai serta disasarkan akan dibuka hujung tahun ini.

— BERNAMA

(Visited 78 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button