NasionalPolitik

Noraini letaklah jawatan…

ulama

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad…. letaklah jawatan. Ini kali kedua anda gagal segagalnya mengendalikan kementerian berkenaan.

Kementerian ini sangat penting tidak akan mampu dikendali oleh orang yang tidak mempunyai rasa cakna dan bertindak cepat.

Kali pertama kegagalan anda adalah semasa Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan. Pengumuman lewat menyebabkan para pelajar terkandas di pusat pengajian tinggi berbulan-bulan tidak dapat pulang kerana larangan rentas negeri dikeluarkan.

Sedang perkara itu telah dijangka dan anda sebagai seorang menteri sepatutnya telah mengetahui lebih awal.

Begitu juga kelmarin sebelum ketua pengarah kesihatan mengumumkan jumlah terkini kes Covid-19 ramai yang telah menyebarkannya di media sosial.

Adakah ini bermaksud anda lebih lembab berbanding dengan netizen. Atau anda lebih gemar bermain TikTok sahaja berbanding memantau hal-hal kementerian atau media sosial lain yang lebih berinformasi.

Bagaimana anda boleh tidur lena sedang para pelajar dan ibu bapa berteriak di media sosial kerana kesulitan yang disebabkan oleh kelemahan anda.

Ribuan pelajar, ibu bapa kerugian masa, tenaga dan wang ringgit kerana terpaksa melakukan perjalanan sia-sia semata-mata untuk mendaftarkan pelajar di pusat pengajian tinggi.

Ramai sudah ragu-ragu untuk mendaftarkan anak masing-masing, tetapi kerana mematuhi peraturan dia diteruskan juga. Namun keraguan itu ternyata berlaku kerana anda membuat pengumuman di saat akhir membatalkan pendaftaran pelajar pusat pengajian tinggi.

Bayangkan mereka yang dari keluarga yang miskin terpaksa berbelanja ratusan ringgit tanpa sebab. Sedang wang tersebut boleh digunakan untuk membeli beras sekeluarga untuk sebulan.

Anda sebagai menteri mungkin tidak akan dapat merasai keperitan itu kerana sudah biasa hidup mewah dan dimandikan dengan jutaan ringgit.

Jika rakyat berkata anda gagal, apa lagi yang anda harapkan. Jangan nanti anda menjadi beban kepada kerajaan yang ada hari ini masih rapuh dan boleh berkecai pada bila-bila masa.

Menteri sebegini hanya akan mengikis rasa keyakinan rakyat. Jadi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menilai balik prestasi pada menterinya yang nampaknya belum cukup bersedia memikul tanggungjawab yang berat.

Sudah-sudahlah Noraini letaklah jawatan. Jadilah pemimpin yang bermaruah. Tidak cukup dengan hanya memohon maaf.

(Visited 385 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button