Nasional

64 pelajar semester satu UPSI terima bantuan khas, dermasiswa

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) mengorak langkah proaktif mencari sumber kewangan bagi menjayakan inisiatif untuk memberi Bantuan Khas Kemasukan Semester Satu kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan.

Pengarah WEZAS, Prof. Madya Dr. Mohd Abdul Nasir Abd Latif berkata dana sumbangan itu disalurkan kepada pelajar yang mengalami masalah kewangan.

“WEZAS sudah mengenalpasti seramai 64 pelajar yang mempunyai latar belakang pendapatan keluarga bawah RM1,000.00 di pelbagai negeri.
Katanya, daripada jumlah tersebut seramai 28 pelajar terpilih untuk ditawarkan Bantuan Khas Kemasukan Semester satu mengikut jumlah kadar yuran yang dikenakan pada semester satu.

Prof Datuk Dr Md Amin bersama pelajar dan keluarga mereka semasa majlis sumbangan bantuan khas di Fakulti Sains dan Matematik.

Sumbangan bantuan disampaikan kepada 28 pelajar berkenaan oleh Abdul Nasir di Bilik Seminar Blok 1, Fakulti Sains dan Matematik ( FSM), Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.

“Ini bermakna bagi tahun 2022, seramai 28 pelajar yang ditawarkan melanjutkan pengajian di UPSI dengan bayaran pendaftaran secara percuma yang melibatkan kos bantuan sebanyak RM64,599.80 untuk menjayakan program bantuan ini,” katanya.

Menurut beliau baki seramai 36 pelajar lain ditawarkan bantuan dalam bentuk jangka panjang iaitu menerima Bantuan Dermasiswa WEZAS – Badan Korporat dengan jumlah RM600 bagi satu semester atau setiap pelajar akan menerima RM4,800 bagi tempoh sepanjang pengajian mereka.

Abdul Nasir berkata WEZAS komited merantau ke seluruh Malaysia dalam tempoh yang singkat bertemu dengan pihak badan korporat, khususnya pihak Tabung Haji yang turut menyalurkan dana bagi program bantuan berkenaan.
Sementara itu Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berharap pelajar yang menerima dana bantuan berkenaan memanfaatkannya dengan sebaik mungkin sepanjang pengajian.

 

Prof Md Amin menyampaikan sumbangan sambil disaksikan oleh Abdul Nasir (kiri) , Dr Norkhalid dan Mohamad Najib (kanan)

“Apa yang penting, bantuan ini mencerminkan keprihatinan universiti membantu pelajar-pelajar yang menghadapi masalah kewangan dapat meneruskan pengajian dalam mencapai impian dan cita-cita mereka,” katanya.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin dan Bendahari, Mohamad Najib Mohamed.

(Visited 309 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button