MerrepakNasional

Tidak guna kenalan keluarkan cek ganti tunai – Saksi

PENGURUP wang Omar Ali Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah mengarahkannya menggunakan kenalannya untuk mengeluarkan cek bagi menggantikan wang tunai sumbangan kepada Yayasan Akalbudi milik bekas timbalan perdana menteri itu.

Omar Ali, 48, berkata perkara itu dilakukannya atas inisiatif sendiri.

Wang itu disumbangkan oleh individu daripada Yayasan Al Bukhari (YALB) untuk dimasukkan ke dalam akaun Yayasan Akalbudi.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid pada hari ke-28 perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit membabitkan Yayasan Akalbudi yang dihadapi Ahmad Zahid.

Ahmad Zaidi: Saya cadangkan Datuk Seri Zahid tidak pernah memberi arahan kepada Encik Omar (Ali) untuk cari sesiapa yang ingin menukar mata wang, pinjam duit untuk ditukarkan kepada cek.

Omar Ali: Setuju.

Saksi pendakwaan ke-81 itu juga bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa wang yang diterima daripada penyumbang tidak pernah dimasukkan ke dalam akaun Yayasan Akalbudi secara tunai kerana bank tidak menerima wang lebih daripada RM500,000.

Pada Isnin lepas, Omar Ali, individu yang didakwa melakukan pengubahan wang haram bagi pihak Ahmad Zahid, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa tertuduh meminta pertolongannya untuk menguruskan kemasukan wang tunai iaitu sumbangan kebajikan ke dalam akaun Yayasan Akalbudi.

Semasa membacakan pernyataan saksi, Omar Ali berkata setelah mendapat arahan daripada Ahmad Zahid untuk menukarkan wang tunai kepada cek, beliau telah bertanya kepada kenalannya jika mahu berbuat demikian.

Sebelum ini, tujuh saksi pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa Omar Ali mencadangkan kepada mereka supaya menyediakan cek dengan mengosongkan ruangan nama pembayar dan mengeluarkan atas nama Lewis & Co iaitu pemegang amanah Yayasan Akalbudi.

Kesemua mereka juga mengesahkan cek-cek itu diserahkan kepada Omar Ali.

Sementara itu, ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi, Omar Ali memberitahu mahkamah bahawa arahan sebenar Ahmad Zahid kepadanya ialah beliau perlu menerima wang tunai sumbangan kebajikan dan menukarnya kepada cek untuk dimasukkan ke dalam akaun Yayasan Akalbudi,

Ditanya Ahmad Sazilee, sama ada Ahmad Zahid memaklumkan kaedah menukar wang tunai kepada cek, Omar Ali menjawab “tidak”.

Ahmad Sazilee: Sekiranya tidak menggunakan idea itu (menggunakan rakan-rakannya) adakah cek itu boleh diperolehi.

Omar Ali: Tidak.

Mengikut pertuduhan bagi kes pengubahan wang haram ke-27, Ahmad Zahid didakwa telah mengarahkan Omar Ali untuk mengubah bagi pihak dirinya wang tunai berjumlah RM6,885,300.20 membabitkan 30 keping cek yang kemudian diserahkan kepada Lewis & Co untuk tujuan pembelian Simpanan Tetap di Maybank yang merupakan hasil aktiviti haram.

Ahmad Zahid, 67, berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, 12 pertuduhan pecah amanah membabitkan dana Yayasan Akalbudi dan lapan pertuduhan rasuah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – BERNAMA

(Visited 177 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button