Politik

MCA bukan parti oportunis politik – Ti Lian Ker

DEMI survival politik, musuh boleh jadi kawan dan kawan boleh jadi seteru. Atas nama kesinambungan jangka hayat dan mahukan parti politik terus relevan, ada yang mencadangkan suatu cadangan yang agak tidak masuk akal.

Namun ada dalam kalangan penganalisis politik tidak mustahil jika MCA bergabung atau bersama-sama dengan DAP walaupun asas perjuangan di antara kedua-dua parti itu, pastinya ada perbezaan.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker menegaskan, parti itu tidak akan menjadi sebuah parti yang oportunis politik atau merebut peluang politik semata-mata mahukan kuasa.

Beliau berkata, segala tindakan MCA selama ini adalah berlandaskan prinsip politik kesederhanaan dan menghormati perlembagaan, institusi dan tradisi.

“Kami tidak akan bertindak mengikut peluang atau kesempatan politik dengan menjatuhkan parti lawan melalui pembohongan, tohmahan atau fitnah dan kemudiannya memohon maaf untuk berkawan semata-mata demi untuk berkuasa.

“Kami juga tidak akan mengeksploitasi sentimen dan emosi ekstremisme secara radikal untuk mengaut sokongan sesuatu kaum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan seorang ahli akademik yang menasihatkan MCA supaya bergabung atau memihak dengan DAP supaya MCA terus berada dalam kedudukan baik bagi mendapatkan kerusi yang boleh dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang dan Selangor akan datang.

Memetik laporan FMT, Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya (UM) berkata, MCA tidak mempunyai pilihan selain bekerjasama dengan DAP untuk kekal relevan memandangkan Barisan Nasional (BN) kini menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lian Ker berkata, MCA mampu berdikari dan akan melakukan “percambahan minda” bagi meneruskan strategi perjuangan parti berteraskan kemajmukan dan kesederhanaan yang berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Negeri.

Walaupun MCA hanya mempunyai dua Ahli Parlimen, kata Lian Ker, parti itu akan menyokong dan bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan demi ke arah kestabilan politik. – SM

(Visited 197 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button