Nasionalpilihan

56 set bubu naga bernilai RM6,160 dirampas

SUDAH tahu penggunaan bubu naga diharamkan, ada sahaja tektik yang digunakan oleh individu dan kumpulan yang tidak bertanggungjawab ini untuk cuba menggelirukan pihak berkuasa.

Terbaharu apabila menggunakan “penanda” yang agak berbeza daripada sebelum ini.

Kali ini pelampung-pelampung kecil digunakan sebagai “penanda” kepada kedudukan bubu naga berbanding sebelum ini menggunakan pancang-pancang kayu.

Tektik ini didedahkan oleh Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain dalam kenyataan berhubung tangkapan terbaharu kes rampasan bubu naga.

“Sebanyak 56 set bubu naga (bubu kambang) telah berjaya dirampas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis pada kedudukan kira-kira 0.9 batu nautika daripada barat persisiran pantai Kuala Perlis, Perlis sekitar sekitar pukul 12.30 tengahari semalam,” katanya.

Beliau berkata, kesemua bubu naga yang dianggarkan bernilai hampir RM6,160 itu dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis bagi diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Mohd Hashim berkata, bubu ini dikesan oleh bot ronda Maritim Malaysia iaitu bot KILAT 5 yang sedang melaksanakan rondaan Op Aman / Op Tiris di perairan Perlis.

“Ini berikutan penemuan pelampung-pelampung bersaiz kecil yang mencurigakan di permukaan air sekitar perairan berkenaan,” katanya.

Tektik baru guna pelampung sebagai penanda kedudukan bubu naga. – Gambar Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis

Mohd Hashim berkata, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(C) Akta Perikanan 1985 kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia sebelum suatu lesen berkenaan dengannya dikeluarkan.

“Penggunaan bubu naga boleh mengakibatkan anak-anak ikan dan udang mudah untuk masuk ke perangkap jaring terbabit dan menjejaskan biodiversiti marin serta mengakibatkan hasil laut semakin berkurangan,” katanya.

Di samping itu, katanya, penggunaan bubu naga juga telah menjejaskan sumber pendapatan nelayan tradisional atau pesisir pantai yang lain.

Katanya, masih terdapat segelintir nelayan di negeri ini dikesan menjalankan kegiatan penangkapan ikan menggunakan bubu naga, meskipun penggunaannya telah diharamkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia mulai 1 November 2018.

“Tahap kesedaran yang rendah dalam komuniti nelayan serta keinginan mengaut untung yang cepat dan mudah kerana tidak memerlukan modal yang tinggi dan mudah didapati termasuk di platform e-dagang antara punca penggunaan bubu naga masih berleluasa,” ujarnya.

Katanya, Maritim Malaysia memandang serius aktiviti penangkapan hasil laut secara salah dan dilarang ini.

Tambahnya, walaupun telah banyak rampasan bubu naga dilakukan sebelum ini namun aktiviti ini dilihat terus aktif dilakukan termasuk penangkapan ikan dengan menggunakan kaedah rawa sorong, penangkapan ikan di luar kawasan yang dibenarkan serta pencerobohan bot nelayan asing.

Katanya, tindakan tegas akan diambil ke atas pesalah yang melakukan aktiviti menyalahi undang-undang.

Maritim Malaysia akan terus membuat rondaan dan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa untuk mencegah aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan utara Semenanjung Malaysia.

Maritim Malaysia juga turut meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162. – SM

(Visited 107 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button