Berita

Buli bukan budaya kita – Raja Muda Perlis

Masyarakat di segenap peringkat tanpa mengira usia harus sentiasa mengingati bahawa ‘Amalan buli bukanlah budaya kita’.

Justeru, semua pihak harus memainkan peranan agar budaya buli tidak menjadi akar dan tunjang dalam kalangan masyarakat.

Budaya negatif sebegini seharusnya dijauhi sedari kecil sebelum ianya menjadi sebati dalam diri seseorang kanak-kanak, dan akhirnya membesar sebagai seorang pembuli malah lebih buruk lagi iaitu menjadi seorang yang ganas.

Setiap orang mampu untuk berjaya di dalam kehidupan di mana “Permulaan kecemerlangan masa depan bermula dari langkah pertama sejak dari zaman kanak-kanak masing-masing”. Namun di dalam kehidupan kita ini masih terdapat sikap negatif suka membuli yang jika tidak dibendung mampu menjadi satu budaya hidup buruk berterusan kepada seseorang.

Buli boleh berlaku di dalam pelbagai bentuk dan cara antaranya terhadap pemakaian dan penampilan seseorang, pencapaian, peranan dalam masyarakat, sikap, pemikiran, ekonomi, bentuk fizikal dan sebagainya.

Demikian titah perutusan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis sebagai sebahagian daripada kempen ‘Rakyat Negeri Perlis Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’ sempena ‘Hari Antarabangsa Kanak-Kanak Mangsa Terhadap Keganasan’ yang disambut di seluruh dunia pada 4hb Jun.

‘Hari Antarabangsa Kanak-Kanak Mangsa Terhadap Keganasan’ diingati setiap tahun bertujuan untuk memberi kesedaran terhadap keperitan yang ditanggung oleh kanak-kanak di seluruh dunia yang menjadi mangsa penderaan fizikal, mental dan emosi. Difahamkan sebanyak 142 juta kanak-kanak kini tinggal di zon konflik berintensiti tinggi. Mereka direkrut di dalam perang, sekolah diserang dan mereka juga sering dieksploitasi secara seksual, diculik, malah juga dibunuh.

(Visited 276 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button