Nasional

PUTRA buat laporan SPRM terhadap salah guna kuasa libatkan Zeti Aktar Aziz

PARTI  Bumiputera Perkasa Malaysua (Putra) meminta SPRM menyiasat tiga dakwaan salah guna kuasa melibatkan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Aktar Aziz.

Naib Presiden Putra, Datuk Hamidah Osman berkata, salah guna kuasa itu membabitkan keluarga tokoh ekonomi itu.

“Kita dapati terdapat tiga kesalahan iaitu melibatkan keluarga Zeti iaitu berkaitan pembelian Southern Bank, isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Projek Pembekalan Air untuk sekolah pendalaman di Sabah Sarawak.

“Bagi penjualan Southern Bank yang dibeli Cimb Bank Bhd pada tahun 2015 yang memerlukan kelulusan Gabenor Bank dan Suruhanjaya Sekuriti di mana brokernya adalah Tawfiq Ayman membabitkan komisen sebanyak USD1.8 juta (RM7 juta).

“Untuk kes 1MDB pula, ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low didakwa menyalurkan USD16 juta (RM64 juta) kepada syarikat milik suami Zeti, Datuk Dr. Tawfiq Ayman malah didapati wang terbabit sudah pun dicairkan tahun lalu,” katanya ketika ditemui di Ibu pejabat SPRM Putrajaya, hari ini.

Menurut Hamidah, dakwaan ketiga pula adalah melibatkan projek yang dianggap gagal iaitu Projek Pembekalan Air untuk sekolah pendalaman di Sabah dan Sarawak.

Jelasnya, projek tersebut diberi secara runding terus kepada syarikat yang mempunyai kepentingan kepada keluarga Zeti. Malah Zeti didakwa turut melobi dan mengugut untuk projek itu.

Hamidah berkata, dakwaan mengenai projek terbabit turut didedahkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi bahawa syarikat terbabit turut disambung kontrak walaupun gagal melakukan kerja yang ditetapkan.

“Kami melihat tiga perkara terbabit sangat serius yang terpalit kepada Zeti kerana ia membabitkan kepentingan awam dan Zeti perlu tampil menjawab semua tuduhan ini.

“SPRM juga perlu menjalankan siasatan khusus bagi memastikan tuduhan yang dibuat dapat diketahui kebenarannya sekali gus membersihkan nama Malaysia yang menjadi panas akibat skandal 1MDB,” jelasnya. -SM

(Visited 278 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button