Nasional

52 qari, qariah lapan negara sertai Tilawah Al-Quran DMDI

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 8 April – Sebanyak 52 peserta daripada lapan buah negara akan menyertai Majlis Tilawah Al-Quran
Antarabangsa Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Kali Ke-12 dari 12 hingga 13 April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, majlis berkenaan akan dibuat secara
atas talian itu membabitkan penyertaan 27 qari dan 25 qariah adalah anjuran bersama Majlis Agama Islam
Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Menurutnya, lapan buah negara yang akan menyertai tilawah tersebut selain tuan rumah Malaysia ialah Afrika
Selatan, Kemboja, Australia, Thailand, Singapura, Mauritius dan Indonesia.

“Majlis tilawah kali ini akan dibuat secara atas talian seperti tahun lalu. Sebanyak 52 peserta akan mengharungi peringkat saringan.


“Peserta akan menghantar rakaman audio surah yang telah ditetapkan untuk dibaca yang kemudiannya akan
diadili oleh panel sembilan juri bagi memilih hanya seramai 30 peserta layak ke peringkat akhir.

“Kesemua peserta yang layak ke akhir pada 13 April akan memperdengarkan bacaan masing-masing secara atas
talian yang akan disiarkan secara langsung di seluruh negara anggota DMDI pada majlis akan berlangsung di
Auditorium Masjid Al-Azim,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal
penganjuran Tilawah berkenaan di Pusat Islam Melaka di sini hari ini.

Yang turut hadir sama Pemangku Presiden DMDI, Prof. Datuk Dr. Mohd Jamil Mukmin.

Che Sukri berkata, majlis penyampaian hadiah kepada pemenang akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri
Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Menurutnya, juara Tilawah bagi kategori qari dan qariah akan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000
beserta sijil penyertaan, naib juara menerima RM3,000 dan RM2,000 bagi pemenang tempat ketiga.

Beliau berkata, seramai 49 peserta lain yang gagal menduduki tiga kedudukan teratas menerima saguhati
sebanyak RM300.

Sementara itu, Mohd. Jamil berkata, penganjuran tilawah itu merupakan aktiviti tahunan DMDI bersama 22 negara anggota.

Katanya, penganjuran tilawah berkenaan dibuat secara atas talian buat tahun kedua berturut-turut ekoran
penularan wabak Covid-19 yang masih belum reda di seluruh dunia.

 

 

(Visited 63 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button