Politik

Rahsia buku hitam, ada pesanan bossku kepada ahli UMNO

“JAGALAH rumah kita, jagalah ahli kita. Jagalah bangsa kita, jagalah perjuangan kita kerana UMNO ini adalah amanah kita.” Itulah catatan bossku, Datuk Seri Najib Razak dalam buku hitam yang selalu dikepitnya setiap kali ke mahkamah.

Anak bossku yang juga merupakan Ketua Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai, Nooryana Najwa mendedahkan catatan ayahnya yang sempat beliau belek dan curi-curi baca ketika buku hitam itu ditinggalkan di bangku dalam kamar mahkamah semasa perbicaraan kerana bossku ke tandas.

Dalam ucapan perbahasan dasar Presiden parti, Nooryana turut menzahirkan hasratnya untuk melihat suatu hari nanti, anak sulungnya, Adam memakai baju Melayu merah sebagai legasi dalam UMNO.

“Anak dalam kandungan saya ini, awal-awal lagi sudah didaftar sebagai ahli Puteri UMNO,” katanya sambil menoleh melihat ke arah abangnya yang turut berada dalam dewan, hari ini.

Menadah tangan, memohon kepada Allah agar bossku, Datuk Seri Najib Razak dibebaskan dari penjara, sambil menangis, Nooryana berkata, “Ya Allah, ya tuhan kami. Kami berdoa kepadamu ya Allah, bebaskanlah dia dari penjara.”

Reaksi spontan Nooryana turut mengundang para perwakilan yang berada dalam dewan pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 (PAU2023) petang ini mengesat air mata masing-masing.

Di awal ucapannya, Nooryana berkata, kali pertama beliau dibawa masuk ke Dewan Merdeka dan duduk di atas di tempat duduk Ahli Majlis UMNO ialah ketika berusia tujuh tahun.

“Menyaksikan ayah berkobar-kobar membahaskan ucapan, saya tidak faham ayah marah, gembira atau sedih tetapi semangat yang dizahirkan oleh ayah, pemimpin UMNO dan perwakilan dapat dirasai.

“Mereka semua sedang mengusahakan sesuatu yang penting untuk negara dan dari situ, dalam diri saya timbul minat dan keinginan untuk menjadi sebahagian daripada UMNO suatu hari nanti,” katanya yang bersyukur kerana harapannya itu tercapai, dengan izin Allah.

Katanya lagi, “kalau kita dapat ingatkan diri kita, barulah kita dapat hayati roh dan semangat UMNO. Tidak boleh bercakap yang manis-manis sahaja kerana perjuangan itu terdapat pahitnya.

“UMNO berjuang demi rakyat, untuk kemerdekaan, membina sebuah negara melalui pembangunan dan transformasi. Ini manfaatnya.”

Dalam perjuangan, kata Nooryana, wanita muda harus terus kekal relevan dalam lanskap tanah air.

Menerusi pimpinan Ketua Puteri UMNO,  Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi yang dipanggil Along, dapat dilihat potensi membawa Pergerakan Puteri UMNO lebih tinggi.

“Dalam tempoh dua bulan, Puteri berjaya menambah dan merekrut 4,957 ahli baharu.

“Siapa cakap anak muda tak berminat masuk UMNO? Perlu ada engggagement untuk tarik anak-anak muda,” katanya sambil menambah, anak-anak muda mengikut trend platform media sosial seperti Tiktok, trend  menari, swipe untuk mengetahui ulasan ulasan isu semasa.

Beliau berkata, Perdana Menteri-Perdana Menteri yang lalu mempunyai DNA UMNO.

“Semuanya dari kilang UMNO. Sama ada keris, bunga, mata ke… semua datang dari DNA UMNO, dilatih dan dibimbing dalam dewan ini” ujar beliau.

Tambah beliau, kebangkitan UMNO boleh dibina semula dengan sokongan akar umbi khususnya kubu-kubu kuat.

“Balik kepada fundamental UMNO. Ambil semula hati rakyat, golongan pesawah, petani, nelayan, felda… mereka ini adalah pengundi setia,” katanya. – SM

BACA Najib bakal meringkuk dalam penjara seumur hidup jika Jho Low dibawa pulang

BACA Beri keadilan kepada Najib sebagai seorang manusia

(Visited 133 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button