Politik

50 wakil rakyat DAP beri RM1,000 seorang lunaskan denda Malaysiakini

SEBANYAK 50 wakil rakyat DAP menyumbang RM1,000 seorang bagi membantu melunaskan denda yang dikenakan terhadap portal berita Malaysiakini.

Mengikut Facebook rasmi lidah DAP, Roketkini, sumbangan itu adalah tambahan kepada RM10,000 yang disumbangkan oleh parti itu.

Keseluruhan sumbangan DAP berjumlah RM60,000 bagi membantu Malaysiakini yang didenda RM500,000 atas kesalahan menghina mahkamah.

“Kami bersolidariti bersama Malaysiakini, portal berita yang telah mainkan peranan penting sebagai tiang ke-4 demokrasi.

“Sebagai tambahan kepada RM10K yang disumbangkan DAP, 50 wakil rakyat kami turut berjanji menyumbang RM1,000 setiap seorang kepada Malaysiakini untuk membantu pembayaran denda RM500,000,” tulis pentabiran Facebook Roketkini.

Selain DAP, rakannya dalam Pakatan Harapan, Parti Keadilan Rakyat turut menyumbang RM20,000 terhadap kutipan tersebut.

Bendahari Agung PKR Lee Chean Chung berkata, sumbangan itu sebagai tanda solidariti terhadap Malaysiakini.

“PKR mengambil maklum atas perkembangan terkini bahawa Portal berita Malaysiakini didenda RM500,000 kerana kesalahan menghina mahkamah menerusi komen pembacanya.

“Denda ini mesti dibayar dalam tempoh tiga hari bekerja, iaitu selewat-lewatnya pada Rabu, 24 Februari. Sebagai tanda solidariti, KEADILAN akan menyumbang RM20,000 dalam tabung pembayaran denda,” katanya.

Mahkamah Persekutuan hari ini menjatuhi hukuman denda RM500,000 kerana kesalahan menghina mahkamah menerusi komen pembacanya.

Dalam keputusan majoriti 6-1, hakim mendapati Malaysiakini bertanggungjawab atas penghinaan terhadap mahkamah menerusi komen pembacanya.

Ia mesti dibayar dalam tempoh tiga hari bekerja, iaitu selewat-lewatnya pada Rabu, 24 Februari.

Pada 15 Jun tahun lalu, Peguam Negara, Idrus Harun mengemukakan permohonan menghina mahkamah terhadap portal berita tersebut.

Ketika menyampaikan keputusan hari ini, Rohana memutuskan bahawa mahkamah perlu mengambil kira tanggungjawabnya untuk memandang serius tindakan menghina mahkamah, yang akhirnya akan melemahkan sistem kehakiman di Malaysia.

“Juga menjadi tanggungjawab masyarakat mengambil serius tindakan menghina mahkamah yang akhirnya melemahkan sistem keadilan di negara ini (Malaysia).

“Kenyataan yang menyinggung (komen berkenaan) telah tersebar luas di dalam dan luar negara, dan kandungannya bersifat palsu dan celaan, serta mengandungi tuduhan rasuah. Kami berpendapat bahawa denda RM500,000 adalah wajar.

“Kami memerintahkan denda oleh responden pertama dibayar dalam masa tiga hari mulai Isnin (minggu depan),” kata Rohana.

Serentak itu Malaysiakini merayu ihsan orang ramai untuk membantunya mengumpulkan RM500,000. Dalam tempoh beberapa jam portal berita itu kemudiannya berjaya mengutip RM505,000.-SM

 

(Visited 408 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button