Kesihatan

50 peratus penghidap ekzema menderita hingga dewasa

EKZEMA bukan hanya terjadi kepada bayi tetapi dialami sesiapa sahaja merangkumi pelbagai peringkat usia. Keadaan radang pada kulit ini menyebabkan gatal-gatal, bengkak dan ruam.

Berdasarkan kajian, hanya 50 peratus mereka yang menghidap ekzema sejak kecil akan pulih manakala 50 peratus lagi, menanggung kesengsaraan dialami sehingga mereka dewasa.

“Tanda-tanda bayi menghidap ekzema boleh dilihat seawal usia enam minggu dan berlaku juga kes membabitkan kanak-kanak sekolah, remaja dan orang tua,” kata Dr. Siti Aishah Yunos daripada Klinik Pakar Aishah di Langkawi.

Menurut Dr. Siti Aishah lagi, bagi bayi, ekzema sering menyerang di bahagian pipi, dahi dan belakang leher manakala kanak-kanak, remaja dan orang dewasa kesannya dapat dilihat merebak ke pergelangan tangan, pelipat tangan, siku, lutut dan bahagian belakang lutut (lipatan).

Ekzema bukan sejenis penyakit berjangkit. Ia dihidapi kerana faktor genetik atau keturunan selain pengaruh persekitaran, penggunaan sabun yang tidak sesuai dan jangkitan kuman.

“Kalau duduk di negara yang sangat sejuk, keadaan suhu sejuk akan menyebabkan kulit kering. Malah, jangkitan kuman juga boleh mendorong menjadikan ekzema lebih teruk.

“Sabun turut menyebabkan berlaku tindakan balas pada kulit dan mendapat ekzema,” katanya.

Ekzema berlaku kerana sistem pada kulit gagal mengawal penyejatan air yang keluar.

“Badan kita mengandungi lebih 60 peratus air. Air ini berada dalam sel-sel darah dan lapisan lemak. Air penting bagi memastikan sistem badan lancar termasuk menghasilkan kulit yang cantik.

“Dalam kulit ada lapisan minyak atau lemak. Kerosakan atau kelonggaran lapisan ini menyebabkan air keluar dan tersejat, kulit jadi kering. Ini yang dinamakan ekzema,” katanya lagi.

Bagi mengatasi masalah ini, jelas Dr. Siti Aishah, seseorang itu harus menggunakan bahan mandian, pelembap serta steroid yang sesuai.

Penggunaan steroid harus mendapatkan pengesahan daripada doktor bertauliah kerana kesilapan menggunakannya akan membawa kesan memudaratkan kepada individu terbabit.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa, sekiranya menyedari tanda-tanda anak menghidap ekzema supaya mengambil langkah-langkah awal dengan segera mendapatkan rawatan dan nasihat doktor.

Untuk pelbagai tips berkaitan kesihatan boleh layari pautan ini: https://www.facebook.com/Klinik-PAKAR-Aishah – SM

(Visited 411 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button