NasionalNegeri

Jenayah siber ancaman serius kepada pengguna – Pemangku Raja Perlis

PENIPUAN dalam talian, pencerobohan dan penggodaman, ketirisan data serta kecurian identiti kini menjadi ancaman serius kepada pengguna, titah Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Titah Baginda, usaha menangani jenayah siber perlu terus dipergiatkan dengan penglibatan pelbagai entiti bagi memastikan pendidikan dan intervensi dapat dilaksanakan secara holistik dan kolektif.

Oleh itu titah Baginda, semua pihak hendaklah terus menggembleng tenaga dengan mempertingkatkan pelaksanaan program-program kesedaran keselamatan siber bagi memberi kefahaman kepada pengguna Internet tentang jenayah scam sekaligus bersama-sama berganding bahu membanteras jenayah ini.

Titah Tuanku Syed Faizuddin Putra, pencapaian serta perkembangan komunikasi era digital masa kini yang sangat progresif memudahkan pengguna dalam urusan seharian.

Selain itu, titah Baginda, penggunaan dan kebergantungan terhadap teknologi serta Internet turut mendedahkan pengguna kepada pelbagai risiko ancaman dan serangan siber.

“Jenayah siber kini semakin berleluasa dan menjadi serius, di mana penjenayah turut mengambil peluang atas perkembangan teknologi yang sama dengan meningkatkan keupayaan dan pengetahuan mereka untuk melakukan ancaman dan serangan siber,” titah Baginda.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat merasmikan Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Perlis di Dewan Kecemerlangan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Alam Pauh Putra, Arau.

Keberangkatan tiba Baginda ke program yang dianjurkan melalui kerjasama CyberSecurity Malaysia, CelcomDigi, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Gabungan Banteras Anti-Scam serta UniMAP tersebut disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia, Jeneral (B)Tan Sri Datuk Seri (Dr.) Zulkifeli Mohd. Zin.

Perlis merupakan negeri kedua program ini berlangsung dan Jelajah Anti-Scam Kebangsaan ini telah dilancarkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil pada 18 Mei lalu di Petaling Jaya, Selangor.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yakin program ini mampu memberi dimensi baharu kepada seluruh rakyat Malaysia amnya dan masyarakat negeri Perlis khususnya terutama bagi para peserta yang hadir pada program berkenaan.

Pemangku Raja juga berharap agar segala ilmu serta informasi yang diperolehi melalui forum tersebut sebaiknya dikongsi bersama ahli keluarga serta rakan taulan untuk sama-sama mengelak dari menjadi mangsa scammer.

Terdahulu daripada itu Zulkifeli dalam ucapannya berkata, program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 yang diadakan ini merupakan satu Prakarsa atau inisiatif yang dilaksanakan bagi memupuk dan meningkatkan kesedaran pengguna Internet tentang jenayah scam.

“Ancaman dan serangan siber yang berlaku bukan hanya tertumpu kepada serangan terhadap syarikat dan organisasi, malah pengguna individu turut menjadi mangsa pelbagai ancaman siber termasuk penipuan dalam talian atau scam,” katanya.

“Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), sehingga bulan Mac 2023 sebanyak RM250 juta nilai kerugian telah direkodkan akibat jenayah scam di Malaysia meliputi penipuan telekomunikasi, pembelian dalam talian, scam pinjaman tidak wujud dan scam pelaburan,” tambah beliau lagi. – SM

(Visited 154 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button