Politik

DUN Pulau Pinang rasmi bubar hari ini

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang mempunyai 40 kerusi secara rasminya dibubarkan hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

BERNAMA melaporkan, pembubaran itu lebih awal berbanding tempoh mandat lima tahun DUN Pulau Pinang yang sepatutnya berakhir pada 2 Ogos.

Susulan pengumuman pembubaran DUN oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow semalam, pembubaran dilakukan selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Yang Dipertua DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang menyerahkan watikah pembubaran DUN Pulau Pinang kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri, Dr Siti Nazariah Abdul Zalim semalam bagi membolehkan pilihan raya diadakan.

Persidangan DUN Pulau Pinang yang pertama diadakan pada 1 Ogos 2018 selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018.

Chow berkata, tempoh selepas tiga minggu pembubaran DUN untuk hari penamaan calon dikira memadai dan mencukupi untuk semua pihak menjalankan gerak kerja parti masing-masing.

Untuk rekod, pada PRU14 yang lalu, Pakatan Harapan (PH) telah menang 37 daripada keseluruhan 40 kerusi termasuk dua kerusi daripada calon Bersatu yang pada ketika itu, masih bersama PH.

Manakala Barisan Nasional (BN) pula hanya menang dua kerusi dan PAS, satu.

Pada Februari 2020, Bersatu mengumumkan keluar daripada PH dan menyertai Perikatan Nasional (PN) menyebabkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu Pulau Pinang, ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan ADUN Teluk Bahang, Zolkifli Md Lazim menarik balik sokongan mereka terhadap pentadbiran kerajaan negeri di bawah PH.

Sementara itu, pergolakan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut menyaksikan dua ADUN daripada parti itu dipecat iaitu ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin dan ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim.

Kedudukan terkini kerusi sebelum pembubaran DUN Pulau Pinang ialah PH memiliki 33 kerusi, BN (dua), Bersatu (empat) dan PAS (satu).

Selain Pulau Pinang, negeri-negeri lain yang akan mengadakan PRN ialah Kedah, Terengganu, Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan. – SM

BACA Bubar DUN Pulau Pinang akhir Jun-KM

(Visited 172 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button