Nasional

71 peratus pencarum KWSP tidak cukup wang untuk bersara

PERDANA Menteri mendedahkan 71 peratus atau lebih dua pertiga ahli yang aktif mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia 55 tahun dan ke bawah, berada dalam situasi serius.

Jumlah dana yang mereka miliki tidak mencukupi untuk bersara melebihi paras kemiskinan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata KWSP turut menganggarkan pencarum perlu bekerja antara empat hingga enam tahun tambahan untuk membina semula simpanan yang sudah dikeluarkan melalui empat pengeluaran khas semasa pandemik.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, sebarang pengeluaran tambahan baharu sama ada secara bersasar ataupun terbuka akan memburukkan lagi isu ketidakcukupan simpanan persaraan yang kini sudahpun berada dalam tahap yang amat membimbangkan.

Katanya, pengeluaran tambahan baharu KWSP boleh menyebabkan kekangan penyertaan ke dalam peluang pelaburan baharu dan akan memberikan kesan secara langsung dari segi kehilangan potensi pulangan jangka masa panjang yang turut menjejaskan peluang bagi menjana pendapatan untuk tujuan pembayaran dividen kepada ahli pada masa hadapan.

“Empat pengeluaran khas ini menyebabkan penurunan yang ketara dalam peratusan ahli aktif yang mencapai Simpanan Asas iaitu RM240,000 pada usia 55 tahun daripada 36 peratus pada 2020 kepada 29 peratus pada akhir tahun lalu.

“Sehingga 31 Disember lalu, seramai 6.7 juta ahli atau 51 peratus daripada keseluruhan ahli KWSP di bawah umur 55 tahun hanya mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000 di dalam akaun selepas pengeluaran berkenaan.

“Jumlah ini menyebabkan ahli memperolehi pendapatan persaraan yang kurang daripada RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun,” kata dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat. – SM

(Visited 200 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button